fbpx

Atiq Azman cakap tak serupa bikin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ATIQ AZMAN

PERKAHWINAN satu frasa yang sememangnya menjadi tabu dalam industri hiburan. Itulah perkataan yang sering dielak oleh mana-mana artis kerana sejak dahulu dianggap sebagai ‘penolak’ kepada kemasyhuran atau populariti.

Sering kali juga perkahwinan yang menjadi perihal privasi artis tidak akan dijaja sewenang-wenangnya kepada umum.

Bagaimanapun berbeza dengan pelakon muda Atiq Azman yang tanpa berselindung membuka rahsia hati. Dia mengakui tidak kisah sama sekali jika ditakdirkan menamatkan zaman bujang pada usia muda.

Atiq yang kini berusia 21 tahun berpendirian, perkahwinan merupakan perkara yang sangat dituntut agama dan pada masa sama dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah dosa.

Pertanyaan tersebut disuakan untuk mendapatkan pandangannya susulan penampilan terkini pelakon itu dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri memegang watak suami orang.

SEANDAINYA nanti dia berhasil mengusahakan bisnes yang stabil, Atiq mahu lebih selektif dalam soal penerimaan tawaran lakonan, terutama jika melibatkan babak bersentuhan.

Kahwin, suami muda

Mengakui peranan selaku ketua keluarga bukannya mudah, pemilik nama sebenar Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah itu bagaimanapun sedar betapa besarnya rahmat Tuhan bagi mereka yang mendirikan rumah tangga pada usia muda.

“Saya okey dengan perkahwinan pada usia muda. Sebab perkara tersebut sangat digalakkan dalam agama kita. Pada masa sama, sangat dituntut untuk mengelak daripada melakukan dosa,” katanya kepada HibGlam ketika bertamu dalam sesi fotografi baru-baru ini.

Cuma sebagai lelaki, Atiq sedar soal besarnya tanggungjawab yang sedang menanti sekiranya dia bergelar seorang suami suatu hari kelak.

Apatah lagi pada era serba mencabar ditambah pula dengan penularan wabak penyakit berjangkit yang merencatkan ekonomi sehingga menjejaskan sumber pendapatan ramai, Atiq tidak terkecuali.

Foto FARIZWAN HASBULLAH
Busana BON ZAINAL (Instagram @bonzainalofficial)
Solekan Viexenddra (Instagram @queenxenddra_)

Situasi sedemikian menjadi antara menyebabkan pelakon yang mula terkenal menerusi drama fenomena Nur itu mahu mempersiapkan diri sebelum benar-benar melangkah ke alam perkahwinan.
“Kalau cakap soal kahwin, mestilah ada perancangan ke arah itu. Tetapi sejujurnya, masih terlalu awal untuk saya bercakap ataupun benar-benar bersedia mahu berkahwin.

“Sebagai lelaki dan kepala keluarga, saya perlu kukuhkan banyak perkara bukan sahaja dari segi agama bahkan kewangan. Biarlah stabil dahulu barulah boleh kahwin. Takkan nak bagi anak orang makan pasir pula nanti,” ujarnya berseloroh.

Bukan lagi satu rahsia, ruang hatinya sudah ditakluk wanita istimewa yang merupakan seorang pensohor media sosial (instafamous) dan model sambilan.

Atiq bersikap terbuka berkongsi perihal hati apabila sering memuat naik gambar bersama si kekasih dalam media sosial.

Ditebak dengan usikan, adakah dia sudah bersedia untuk berkahwin, Atiq tidak menolak bahkan memohon agar jalannya ke arah itu dipermudahkan.
“Mungkin tidak lama lagi. Dalam setahun dua, insya-Allah. Apa-apa pun, macam saya katakan tadi, perlu ada kestabilan terlebih dahulu,” ujarnya ringkas.

MULA dikenali sebagai Raja Atiq, jejaka ini menukar portfolio seninya sebagai Atiq Azman bagi mengelakkan salah faham kerana dan bimbang khalayak tertukar antara Raja Atiq dan Raja Afiq memandangkan nama mereka hampir sama.

Peminat faham

Pada usia 21 tahun dan ketika namanya pernah meniti puncak populariti sekitar tiga tahun lalu, tumpuan peminat terutama kaum wanita terarah kepada Atiq, sementelah kehadirannya dalam industri dilengkapi pakej sempurna dari segi rupa paras dan bakat.

Biarpun tidaklah sehingga mencetuskan kontroversi memakan diri, kisah cinta yang dipaparkan pelakon itu secara terbuka kepada umum pernah membuatkan dia kehilangan peminat.

“Salah satu sebab kenapa saya kongsi gambar bersama kekasih dalam media sosial, supaya orang tahu status diri.

“Saya mahu sorok sebab nanti bimbang timbul masalah lain pula.

“Sekalipun sudah ada kekasih, tetapi saya tetap layan peminat seperti biasa. Kerja tetap kerja dan hal peribadi ialah hak sendiri. Mujurlah peminat saya sejenis yang memahami,” katanya.

AKUR dengan atmosfera dunia lakonan yang sukar mengelak daripada tidak melakukan babak bersentuhan, Atiq menjelaskan dia cukup tahu batas sebagai Muslim.

Langgar prinsip

Menebak pandangannya tentang keberadaan dalam industri dan pendekatan konsistensi di sebalik rimbunan pendatang baharu, Atiq mengakui ada kesukaran.

Apatah lagi, suatu ketika dulu dia pernah memaklumkan pendiriannya yang enggan terlibat dengan babak bersentuhan bersama pasangan pelakon wanita.

Bagaimanapun, adakalanya dia terpaksa melencong daripada haluan prinsip kerja dek tuntutan dunia lakonan.

Tidak kisah dilabel sebagai artis ‘cakap tak serupa bikin’, Atiq menjelaskan, hanya dia yang tahu dan faham apa yang sedang dikerjakan ketika ini.

“Sebenarnya saya hampir nak tolak tawaran berlakon drama tersebut, tetapi apabila difikirkan semula kenapa saya perlu tolak rezeki yang datang?

“Ditambah pula waktu itu tawaran lakonan tidak banyak disebabkan situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan, banyak penggambaran tergendala. Kalau saya tidak ambil, tolak rezeki namanya.

“Saya terpaksa langgar sedikit prinsip yang dipegang. Kalau orang kecam, saya mahu mereka cuba jadi pelakon dan rasa sendiri susah atau tidak kerja dalam bidang ini,” katanya.

PERTAMA kali membawakan watak suami orang dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, Atiq mengakui berasa canggung.

Tukar nama

Sekitar dua tahun lalu, pelakon kelahiran Kelantan itu mengumumkan pertukaran penggunaan nama pentasnya. Jika dahulu dia dikenali sebagai Raja Atiq, kini nama Atiq Azman yang mahu diukir sebagai muka depan portfolio seninya.

Alasan Atiq, dia mahu mengelakkan salah faham kerana dan bimbang khalayak tertukar antara Raja Atiq dan Raja Afiq memandangkan nama mereka hampir sama.

Hakikatnya, khalayak mengenali jejaka berkulit cerah itu dengan nama Raja Atiq.

“Sebenarnya saya suka dengan nama Raja Atiq. Sebab awalnya, nama itulah yang membuatkan saya dikenali ramai. Saya tidak kisah tetapi tak berapa suka sebab orang keliru antara kami berdua.

“Pernah terjadi, orang tersilap letak nama saya sebagai Raja Afiq. Satu lagi kejadian, saya pernah dapat panggilan tawaran projek tetapi tersilap ingatkan saya Raja Afiq,” jelasnya.

Sedikit perkembangan semasa, Atiq yang kini berniaga sotong gergasi goreng tepung susulan kekangan menjana pendapatan selama tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan menyimpan impian untuk

memulakan perniagaan lain suatu hari nanti.

“Perancangan untuk buat bisnes lain sudah ada sejak tahun lepas tetapi belum pasti produk apa untuk dijual. Sebab zaman sekarang kena kreatif untuk bersaing dengan orang lain. Insya-Allah, doakan,” ujarnya menutup bicara.

ATIQ kini berniaga sotong gergasi goreng tepung susulan kekangan menjana pendapatan selama tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI