KOTA TINGGI – Seorang pemandu maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan dinaiki bertembung dalam kemalangan di Kilometer 44 Jalan Johor Bahru- Mersing semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 7 malam membabitkan kereta Perodua Kenari dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina.
Katanya, pemandu Perodua Kenari dikenali sebagai Mazlina Mohamed, 35 maut dalam kejadian itu.
“Siasatan awal mendapati Perodua Kenari dalam perjalanan dari arah Mersing menghala ke Kota Tinggi manakala Nissan Livina dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke arah Mersing.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di tengah-tengah jalan garisan berkembar pembahagi jalan di mana kedua-dua kenderaan telah bertembung di tengah garisan berkembar.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu Perodua Kenari mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa di bawa ke HKT untuk urusan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.