BATU PAHAT – Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM3.9 juta di perairan Parit Amat Muar, dekat sini, semalam.
Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian pada pukul 11.20 pagi itu, pihaknya berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 69 kilogram (kg) dibungkus dengan plastik teh Cina.
“Serbuan dan rampasan berkenaan adalah hasil maklumat awam mengenai sebuah bot fiber dalam situasi mencurigakan sedang berlegar dan disyaki cuba memasuki perairan Parit Amat, Muar.
“Susulan itu, pihak APMM telah mengesan sebuah bot fiber yang dinaiki dua orang lelaki dipercayai warga Indonesia berdasarkan bot yang dinaiki mereka,” katanya ketika sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini hari ini.
Menurut beliau, suspek kemudiannya bertindak menukar haluan dengan berpatah balik memasuki Parit Amat dan memecut masuk laju ke arah hutan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot beserta muatan di kedudukan 0.1 batu nautika barat daya Parit Amat.
“Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan menyusup ke dalam hutan paya bakau dan menghilangkan diri.
“Pemeriksaan ke atas bot suspek yang ditinggalkan itu telah menemui empat beg plastik pelbagai warna, satu bungkus kurier serta satu beng sandang berisi 66 paket bungkusan teh cina yang mengandungi serbuk kristal dadah jenis syabu,” katanya.
Nurul Hizam berkata, bot suspek yang menggunakan enjin model Mercury dengan kekuatan 150 kuasa kuda turut dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat dan kes disiasat mengikut Seksyen 398 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.-K! ONLINE.