GEORGETOWN – Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina 14 tangki air di sepanjang Sungai Muda adalah menyalahi undang-undang dan membahayakan ekonomi serta mata pencarian penduduk Pulau Pinang.
Presiden Water Watch Penang (WWP), Professor Dr. Chan Ngai Weng berkata, walaupun rancangan kerajaan negeri Kedah dapat menjamin keselamatan air kepada penduduk Kedah, tidak dapat dinafikan bahawa rancangan itu akan mengurangkan bekalan air ke Pulau Pinang secara drastik kerana kuantiti dan kualiti air yang mengalir ke negeri ini dari Sungai Muda akan berkurangan dengan ketara.
“Oleh itu, rancangan keterlaluan ini telah digambarkan sebagai tindakan perang dan bentuk balas dendam politik kepada Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengejutkan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan mengumumkan bahawa Kedah berhasrat membina 14 tangki air sepanjang Sungai Muda untuk menjimatkan air bagi pengairan padi dan memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau.
Menurut Ngai Weng, sebagai pertubuhan bukan kerajaan, WWP melihat pertikaian membabitkan isu air di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang ketika ini semakin tegang dan berbahaya.
“Pertengkaran di antara kedua-dua negeri ini tidak akan menguntungkan sesiapa, tetapi akan membawa bencana kepada semua pihak.
“WWP merayu kepada Menteri Besar Kedah untuk segera membatalkan rancangan untuk membina 14 tangki air sebelum terlambat,” katanya. – K! ONLINE.