KEMAMAN – Enam pemancing yang dikhuatiri hilang sejak Selasa lalu ditemui selamat di perairan Pahang sebentar tadi.
Komander Zon Maritim Malaysia Kemaman, Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot pemancing tersebut kini sedang ditunda oleh bot nelayan Pahang yang menjumpainya.
“Kita sudah dapat berhubung dengan salah seorang mangsa yang memaklumkan sekarang bot mereka sedang ditunda masuk ke Kuantan oleh bot nelayan Pahang.
“Saya dimaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat dan sekarang mereka sedang ditunda masuk Kuantan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Rashidilhadi berkata, berdasarkan maklumat awal, pemancing tersebut turut memberitahu bot mengalami kerosakan pada kipas enjin bot yang tercabut yang menyebabkan bot mereka hanyut.
“Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu mereka sampai ke darat dan kita sedang mendapatkan lokasi bot berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa yang berada di Jeti Kuala Kemaman masing-masing dilihat mengalirkan air mata dan bersyukur dengan khabar gembira tersebut. – K! ONLINE.