fbpx

Bercuti jangan sampai dijangkiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Esok bermula cuti pertengahan penggal pertama persekolahan selama seminggu. Pastinya pelbagai rencana sudah diatur ibu bapa.

Pasti ada yang ingin merentas daerah termasuk negeri. Bagaimanapun, pembelajaran secara bersemuka selama tiga minggu melibatkan kira-kira tiga juta pelajar sekolah rendah di seluruh negara tidak berakhir dengan ‘indah’.

Seawal dua minggu sudah ada kisah kelas terpaksa ditutup kerana pelajar positif Covid-19. Semua pelajar yang menjadi kontak rapat si positif termasuk guru perlu menjalani ujian calitan.

Lebih malang apabila ada pelajar yang disahkan positif selepas dua kali menjalani ujian calitan. Kendur kembali semangat anak-anak yang sedang membuak-buak untuk belajar.

Dilema pula ibu bapa memikirkan keselamatan anak-anak. Bertitik tolak dari ini, maka pihak sekolah lebih tegas, mana-mana murid yang selesema, batuk walaupun tiada demam atau hilang deria rasa akan disuruh pulang.

Perkembangan ini juga mendorong penjaga mengambil tindakan ‘merehatkan’ anak-anak. Setiap hari berbelas pelajar yang tidak hadir. Ibu bapa pula mula sibuk meminta guru-guru berkongsi kerja sekolah anak-anak.

Malah, sudah ada cakap-cakap yang meminta agar Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) diadakan semula. Baru sahaja sekolah, ibu bapa berhabis beli buku dan kelengkapan belajar, pengusaha kantin dan bas sekolah tarik nafas lega, sudah mahu belajar di rumah?

Kasihan pelajar sekolah menengah yang belum sempat mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah. Sehingga kelmarin, sudah empat sekolah ditutup iaitu masing-masing sebuah di Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Mengikut pekeliling Kementerian Pendidikan, sekolah perlu ditutup selama tujuh hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan. Sepanjang penutupan pihak pentadbir perlu memastikan PdPR dilaksanakan.

Penulis yakin, ketika empat buah sekolah ini ditutup, banyak lagi kelas di beberapa buah sekolah mengalami nasib yang sama.

Mengambil contoh di Ketereh, Kelantan, ia dikatakan berpunca daripada seorang guru yang menghadiri majlis perkahwinan sebelum menjangkiti 11 orang guru lain termasuk seorang pelajar.

Nampaknya cuti sekolah ini bakal menjadi igauan ngeri jika semua pihak masih ‘berlumba-lumba’ melanggar prosedur operasi standard.

Penulis percaya, pasti ramai yang merancang untuk menghadiri majlis perkahwinan dan bercuti. Namun, janganlah disebabkan keghairahan kita, pelajar sekolah pula yang menanggung akibatnya.

Baru sahaja sekolah kembali dibuka, takkan kena tutup pula. PdPR pun bukan mudah, soal keciciran pelajar lemah pula makin meruncing. Kita jaga kita, bercuti jangan sampai dijangkiti.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI