KUALA LUMPUR – Baru empat bulan beroperasi namun sindiket penipuan ‘Fly By Night’ yang mensasarkan kedai komputer, elektrik dan elektronik akhirnya tumpas dengan penangkapan
tujuh suspek termasuk seorang pesara guru wanita baru-baru ini.
Tiga lelaki warga Pakistan, seorang warga India manakala tiga warga tempatan yang berusia lingkungan 29 tahun hingga 58 tahun itu diberkas menerusi tiga serbuan di sekitar lembah Klang dan Negeri Sembilan bermula 11 hingga 14 Mac lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, tangkapan terhadap kesemua suspek dilakukan selepas polis menerima 14 laporan yang dibuat mangsa termasuk daripada seorang pengurus kewangan yang kerugian sebanyak RM48,801.60.
Menurutnya, bertindak di atas maklumat, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menahan pesara guru dan menantunya selepas nama mereka dikesan didaftarkan atas sebuah syarikat yang berhubung kait dengan sindiket tersebut.
“Hasil soal siasat ke atas kedua-duanya, polis menggerakkan serbuan di Negeri Sembilan dan berjaya memberkas seorang lelaki Pakistan yang memiliki taraf Pemastautin Tetap (PR).
“Selang sehari kemudian, empat lagi suspek berjaya dicekup, tiga daripada diberkas di lobi sebuah hotel manakala seorang lagi suspek di sebuah restoran di Dang Wangi,” ujarnya ketika sidang akhbar di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.
Beliau memberitahu, polis sekali lagi membuat serbuan pada hari yang sama di dua unit kondominium di Jalan Puchong dan berjaya merampas 30 barangan berupa pelbagai peralatan komputer, komputer riba, barangan elektrik, elektronik dan beberapa dokumen yang digunakan sindiket untuk tujuan penipuan.
“Kesemua barangan tersebut termasuk wang tunai berjumlah RM121,420 telah dirampas yang dianggarkan keseluruhannya bernilai RM500,000,” ujarnya.
Katanya lagi, semakan mendapati sindiket yang diketuai lelaki Pakistan itu telah memperdaya sebanyak 12 syarikat yang menjual peralatan komputer, barangan elektrik, elektronik dan kedai perkakasan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Modus operandi sindiket adalah membeli barangan elektrik dan elektronik dengan membuat bayaran menggunakan cek ‘post-dated’ bertempoh dua minggu sebelum mangsa boleh menunaikan cek berkenaan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana disyaki terlibat di dalam kegiatan penipuan. – K! ONLINE.