GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket berkaitan dadah dengan membuat rampasan bernilai kira-kira RM33 juta dalam tempoh dua bulan tahun ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, jumlah rampasan dadah itu dilihat sebagai peningkatan berbanding kira-kira RM43.7 juta dalam tempoh sepanjang tahun lalu.
Tambah beliau, selain rampasan dadah, operasi berskala besar jabatan itu turut berjaya menahan seramai 1,271 orang bagi membantu siasatan sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
“Sepanjang tahun lalu, operasi sama berjaya menahan seramai 8,633 orang membabitkan 6,574 kes yang dibuka untuk siasatan.
“Statistik pencapaian tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 tahun lalu adalah sebanyak 356 dengan sabitan sebanyak 185 menjadikan peratusan 100.28 peratus iaitu melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini.
Dalam pada itu Sahabudin berkata, sepanjang tahun lalu juga polis negeri ini berjaya menahan seramai 34 individu termasuk warga China melibatkan kes pelaburan tidak wujud, sindiket keldai akaun dan tipu nombor ramalan.
Tambahnya, sebanyak 2,456 kes melibatkan jenayah tersebut dilaporkan dan dibuka kertas siasatan tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM181 juta.
Selain itu ujar beliau, pihaknya juga tidak berkompromi dalam isu integriti dan pematuhan standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap pegawai serta anggota yang didapati benar-benar bersalah.
Sehubungan itu jelasnya, sepanjang tahun ini sebanyak 40 kes pengaduan awam terhadap pegawai serta anggota polis diterima dan kesemuanya telah dibuka kertas siasatan tatatertib. – K! ONLINE.