SEGAMAT – Kegiatan satu sindiket menyeleweng subsidi gas petrolium cecair (LPG) tumpas apabila lapan individu diberkas termasuk dalangnya dalam satu operasi khas di ladang kelapa sawit dekat Lebuh Raya Segamat-Kuantan, di sini hari ini.
Dalam operasi bermula pada pukul 10 pagi itu, kesemua suspek yang diberkas terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tujuh pekerja warga asing masing-masing berusia antara 20 hingga 49 tahun.
Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kejayaan pasukannya membanteras aktiviti penyelewengan itu adalah hasil risikan dan siasatan dilakukan sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, sindiket terbabit disyaki aktif melakukan kegiatan itu sejak empat bulan lalu malah menjadikan sebuah stor di kawasan kuari di dalam kebun kelapa sawit sebagai taktik untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan pihak kita berjaya merampas pelbagai peralatan termasuk 900 tong LPG berisi 14 kilogram (kg), 975 tong LPG 14kg tidak berisi, 16 tong 50kg berisi LPG industri serta tidak berisi (185 tong).
“Turut disita ialah sebuah treler yang digunakan untuk mengangkut tong gas berkenaan dan kesemua nilai rampasan dianggarkan RM292,060,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Shamsul berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, sindiket ini menjalankan operasi memindahkan gas LPG untuk kegunaan domestik ke dalam tong gas LPG untuk kegunaan industri sebelum dijual.
Jelasnya, kegiatan itu jelas menyalahi undang-undang kerana menyeleweng subsidi kerajaan untuk mengaut untung dengan mudah.
“Kita mendapat maklumat bekalan gas tersebut diperolehi dari Lembah Klang dan di bawa ke stor ini untuk edaran semula kepada pembekal di sekitar Lembah Klang,”katanya.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan ditahan untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen yang sah.
“Kes ini juga disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613) AMLATFPUAA 2001,”katanya.-K! ONLINE