fbpx

Perang kalah jadi abu, menang jadi arang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / AFP

ISU hubungan tegang Malaysia dan Korea Utara antara yang hangat diperkatakan mutakhir ini. Dari kedai kopi sehingga ke alam maya banyak dibicarakan jika perang meletus antara dua negara.

Siapa menang, siapa kalah, siapa kuat, siapa lemah? Pakar dan bukan pakar semua mahu mengulas. Bagi penulis pula tiada apa pun asas yang menjurus ke arah peperangan di sebalik hubungan tegang itu.

Korea Utara putuskan hubu­ngan diplomatik bermaksud tiada lagi hubungan dua hala. Lagipun bukan hanya Malaysia negara tiada hubungan diplomatik dengan Korea Utara.

Cerita tentang perang timbul semata-mata disebabkan kelancangan Konsulat Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song.

Dia mendakwa Malaysia akan menerima akibat kerana mengekstradisi seorang rak­yat Korea Utara ke Amerika ­Syari­kat (AS).

Walhal pada hemat sebenar hampir tiada apa akibat pun di sebalik tindakan Malaysia itu.

Dalam aspek ketenteraan, penganalisis pertahanan, Lam Choong Wah pernah mendedahkan Korea Utara bukan sebuah negara tentera yang kuat. Bagi beliau, Malaysia mampu untuk menghadapi ancaman tentera konvensional Korea ­Utara.

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Muein Abadi turut menyatakan pandangan serupa baru-baru ini.

Kata beliau, Korea Utara memiliki teknologi nuklear, namun sistem peluru berpandu Intercontinental Ballistic Missile (ICBM) mereka masih lemah. Korea Utara juga pasti sedari realiti ini. Maka cerita tentang kemungkinan Korea Utara serang Malaysia agak keterlaluan.

Justeru, sebaiknya dielakkan sahaja perihal kemungkinan perang ini. Tiada apa yang bagus di sebaliknya.

Kemusnahan perang bukan hanya akan disaksikan di medan perang. Ia akan meresap sehingga ke dapur rumah kita.

Kalah jadi abu, menang jadi arang. Bukan pula tidak patriotik, cuma Malaysia sebuah negara aman dan makmur.

Walau apa pun kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam aspek ekonomi pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa memberi jaminan keputusan Korea Utara tidak memberi kesan besar terhadap ekonomi Malaysia.

“Nilainya (impak) sikit sangat atau tidak ada langsung. Oleh itu keputusan tersebut tidak jejaskan apa-apa (terhadap ekonomi negara),” katanya.

Mengulas perkara sama, Pakar Geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, tiada sebab untuk Korea Utara mengganggu gugat ke­selamatan Malaysia.

Jelas beliau ketika dihubungi Kosmo!, musuh Korea Utara adalah AS, Jepun dan Korea Selatan, maka tiada sebab Malaysia tersepit dengan konflik itu.

“Saya tidak fikir Malaysia menjadi tumpuan ketenteraan Korea Utara. Pada tahun 2017 keadaan Malaysia dan Korea ­Utara lebih teruk,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihati rakyat Malaysia agar psikologi mereka tidak terganggu dengan kemungkinan perang Korea Utara dan Malaysia.

Jelas beliau, Malaysia secara am tidak bermusuh dengan mana-mana negara dan perang perlu dielakkan kerana tidak mendatangkan manfaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI