fbpx

‘Mahligai’ dari dinding buluh, lantai tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PONDOK dihuni tujuh sekeluarga menggunakan buluh sebagai dinding, manakala lantainya adalah tanah dilapik dengan guni dan tikar getah.

KUALA KRAI – Hanya berdin­dingkan buluh ditutup plastik agar tidak terkena tempias ketika hujan, manakala lantai pula adalah tanah yang dilapik tikar getah serta guni.

Itu antara gambaran kedaifan ‘mahligai’ yang didiami oleh seorang pelajar program pendidikan khas integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh yang tinggal bersama tujuh lagi ahli keluarga di Kampung Pasir Raja, Lata Rek di sini.

Bukan itu sahaja, ‘mahligai’ itu juga tidak mempunyai sebarang bilik yang selesa dan hanya dipisahkan menggunakan kain sahaja.

Lebih menyedihkan keluarga ini hanya bergantung kepada air bukit.

Menurut seorang guru yang mahu dikenali sebagai Siti Fauziah, 37, selain kedaifan rumah yang dihuni bekas pelajarnya, Mastura Rosli, 17, kedudukan rumah mereka juga jauh di kawasan pedalaman.

Katanya, perjalanan dari sekolah ke rumah Mastura yang terletak kira-kira 15 kilometer mengambil masa lebih setengah jam kerana terpaksa melalui jalan sempit serta kiri kanan laluan dikelilingi hutan.

“Agak jauh Mastura ulang alik setiap hari, meskipun menaiki motosikal ke sekolah tetapi akibat laluan sempit dan kedudukan rumahnya jauh di pedalaman, bapanya terpaksa turun seawal pukul 6.30 pagi untuk menghantarnya ke sekolah.

“Bapa, Rosli Che Man pula seorang penghidap kanser tulang, namun akibat kekangan kewa­ngan dan mahu melihat Mastura berjaya, dia tidak mengendahkan penyakitnya itu serta ber­usaha sedaya upaya menghantar Mastura setiap hari ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

BEGINILAH keadaan pondok yang usang didiami Mastura bersama tujuh ahli keluarganya di Kampung Pasir Raja, Lata Rek, Kuala Krai.

Menurut Siti Fauziah, kedua-dua ibu bapa Mastura hanya bekerja mengambil upah menoreh getah penduduk dan pendapatan itu tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka suami isteri bersama lima anak serta seorang ibu yang sudah uzur.

“Saya difahamkan mereka ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM500 sebulan,” ujar bekas guru di SMK Laloh itu.

Sayu melihat kesusahan dialami bekas pelajarnya itu, Siti Fauziah berkata, guru-guru di sekolah terbabit kini giat mengumpul dana untuk membina sebuah penempatan selesa kepada pelajar terbabit.

Katanya, dana yang diperlukan adalah sebanyak RM15,000 bagi membina sebuah rumah yang lebih selesa dengan kemudahan tiga bilik dan sumber air yang bersih untuk mereka.

“Dana yang telah dikumpul sebanyak RM10,000 dan sedikit barang-barang untuk membina rumah telah dibeli,” katanya.

Orang ramai yang ingin ­menghulurkan sumbangan kepada­ keluarga itu boleh terus menyalurkannya kepada ibu Mastura, Marina Roswati Ha­mad menerusi akaun Agrobank 767010058158 atau hubungi Rosli di talian 019-795 4654. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI