fbpx

Riz Ahmed pecah tembok pemisah industri Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIZ AHMED

BUAT pengikut naskhah-naskhah filem dari Barat, sebaris nama Riz Ahmed barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi. Sehingga kini, sudah lebih 20 buah naskhah filem meminjam auranya.

Memacu karier selaku aktor sejak awal 2000, Riz mula dikenali ramai menerusi filem The Road to Guantanamo (2006), Shifty (2008), Four Lions (2010), Trishna (2011), Ill Manors (2012) dan The Reluctant Fundamentalist (2013).

Dia juga pernah mencuri perhatian khalayak selepas membintangi beberapa siri popular antaranya Britz (2007) dan Dead Seat (2008) sebelum menempa populariti luar biasa selepas muncul dalam filem Nightcrawler pada 2014.

Kredibiliti aktor kelahiran Wembley, London dan berketurunan British-Pakistan itu semakin memuncak selepas diberi peranan membintangi naskhah Jason Bourne dan Rogue One pada 2016.

NAMA Riz cukup dikenali dalam deretan filem popular antaranya Venom yang ditayangkan pada 2018.

Semakin ‘mendunia’, bakat lakonannya menuai pujian apabila mendukung karakter seorang lelaki yang dituduh sebagai pembunuh dalam siri original HBO berjudul The Night Of (2017).

Paling manis, kemunculannya dalam siri berkenaan melonjakkan Riz selaku penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Emmy Awards (2017), sekali gus menyaksikan dirinya diangkat sebagai aktor Muslim dan Asia pertama membawa pulang anugerah utama dalam acara gah berkenaan.

Selepas beberapa tahun, aktor dengan nama lengkapnya Rizwa Ahmed itu memecah tradisi apabila sekali lagi menjadi aktor Muslim pertama yang berjaya mencuri ruang dalam kategori Pelakon Terbaik.

MEMECAH tembok yang sering menjadi pemisah dunia iaitu agama dan budaya, kemunculan Riz Ahmed dalam barisan calon Aktor Terbaik Academy Awards ke-93 menjadi sesuatu yang luar biasa bagi pencinta filem.

Kali ini, Riz memahat sejarah apabila tercalon ke anugerah perfileman paling agung di dunia, Oscars atau Academy Awards ke-93! Tercalon menerusi filem Sound of Metal, sekali gus membuatkan tumpuan perfileman dunia kini terarah kepada dirinya.

Kini Riz berdiri sebaris dengan aktor-aktor hebat dunia, antaranya Chadwick Boseman (Ma Rainey’s Black Bottom), Anthony Hopkins (The Father), Gary Oldman (Mank) dan Steven Yeun (Minari).

“Ketika mendengar nama sendiri diumumkan sebagai calon, ada perasaan pelik yang tumbuh dalam dada, tetapi saya sangat berterima kasih dan bersyukur untuk semuanya,” ujar Riz ringkas selepas barisan calon Academy Awards diumumkan pada 15 Mac lalu.

Oscars, bahasa isyarat

Menerusi Sound of Metal, pelakon berusia 38 tahun itu menjayakan watak seorang pemain dram aliran muzik punk bernama Ruben. Lebih dramatik, Ruben yang juga bekas penagih dadah itu teruji dengan kehilangan pendengaran.

Filem genre drama, karya dan arahan Darius Marder tersebut pertama kali ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2019.

Menerusinya, Riz yang melakonkan watak orang pekak menghabiskan masa berminggu-minggu untuk berlatih bermain dram dan belajar bahasa isyarat.

MENJIWAI peranan sebagai lelaki pekak dalam filem Sound Of Metal memberi pengalaman berharga buat Riz.

“Perjalanan filem ini cukup panjang. Darius Marder sebenarnya sudah membikin naskhah ini sejak 13 tahun lalu.

“Filem ini sangat dekat dengan hatinya dan seluruh pasukan produksi. Naskhah yang menggunakan bajet rendah tetapi berjaya melakar nama ke pentas berprestij dunia,” ujarnya dalam satu temu bual bersama EW.

Riz turut menyifatkan Ruben sebagai anugerah terindah yang mengubah perspektif dalam hidupnya.

“Menjadi Ruben telah mengubah saya. Dia hadiah istimewa daripada Marder yang saya sifatkan sebagai seorang genius mengemudikan jalan cerita hebat kepada penonton.

“Tidak lupa juga kepada komuniti orang pekak yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi Ruben. Pada akhirnya, cerita ini berjaya menghubungkan semua orang dengan kisah yang hebat,” katanya penuh makna.

Muslim, rasialis

Riz yang juga merupakan seorang penyanyi dan pernah meluncurkan album debut berjudul Microscope pada 2011 terkenal sebagai artis yang lantang berhubung isu rasis di negara Barat.

Filem pendek The Long Goodbye lakonannya disifatkan sebagai suara kebangkitan dan hak kesamarataan penduduk Muslim di bumi Barat.

Bagaimanapun, naskhah berkenaan terbit ketika Covid-19 sedang memuncak di United Kingdom (UK) sehingga akhirnya kemunculan perdana naskhah tersebut di Festival Antarabangsa Manchester dibatalkan.

LANTANG, itu perkataan yang ditujukan buat Riz kerana kerap bersuara perihal kurangnya diversiti dunia perfileman Barat yang menampilkan wajah Muslim atau Asia.

Pengaruh Riz bukan sekadar dalam bidang lakonan. Menakjubkan, dia juga dijadikan inspirasi oleh dua orang doktor di UK iaitu Dr. Sadia Habib dan Shaf Choudry yang menjalankan kajian untuk mengenal pasti pengaruh Muslim dalam filem dan televisyen.

Kajian bertajuk Riz Test berkenaan dilakukan berdasarkan ucapan aktor itu ketika berucap di Parlimen UK yang dikenali sebagai House of Commons pada 2017.

Dia membahaskan tentang kurangnya kepelbagaian dalam televisyen dan filem terutamanya wakil Muslim menerusi bidang seni. Aktor itu juga sering meluahkan pandangannya dalam media sosial tentang kekurangan diversiti terhadap golongan Muslim sebagai minoriti di UK.

“Saya sedar betapa dalamnya jurang antara bangsa minoriti seperti Muslim atau artis berkulit hitam sama ada penyanyi atau pelakon untuk maju ke depan selepas tragedi serangan 11 September 2001.

DIANGKAT selaku calon Aktor Terbaik era kini, hakikatnya Riz pernah bertemu titik putus harapan untuk terus berjuang dalam arena seni gara-gara kesusahan hidup dihadapinya.

“Sekarang, suara kebangkitan sudah mula didengar,” ucapnya mendalam.

Sedikit kisah perjuangannya mengerah emosi dan energi sebagai aktor, Riz mengakui dia hampir berputus asa selepas berdepan kesukaran untuk menempatkan dirinya dalam industri perfileman Barat.

Sukar

Meski laluannya berubah apabila kemunculan dalam filem Nightcrawler meledak, namun tetap ada kisah tersembunyi yang dibenam dalam dadanya, jauh daripada pengetahuan umum.

“Saya hampir menarik diri daripada menyertai uji bakat filem tersebut kerana tidak mampu membeli tiket penerbangan ke Los Angeles.

“Tetapi peluang hadir ketika saya beranggapan haluan saya di atas garis perjalanan dunia seni sudah hampir berakhir.

“Filem tersebut benar-benar membuka banyak pintu lain yang saya sangka sebelum itu sudah tertutup sepenuhnya,” tutur Riz yang merupakan suami kepada penulis terkenal Amerika Syarikat, Fatima Farheen Mirza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI