fbpx

Kontraktor gagal pastikan keselamatan berdepan hukuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kontraktor yang didapati gagal memastikan keselamatan semasa atau selepas pembinaan dan menyebabkan kematian boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, pihak-pihak yang mempunyai hak dan kuasa untuk mengendalikan tapak binaan turut mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tapak pembinaan adalah selamat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).

“Sekiranya kontraktor didapati gagal melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan, CIDB mempunyai hak untuk memberhentikan kerja-kerja pembinaan serta merta bagi melaksanakan pemeriksaan di tapak pembinaan.

“Sejak pindaan Akta 520 dikuatkuasakan pada akhir tahun 2016, CIDB Malaysia telah membawa ke mahkamah sembilan kontraktor yang didapati bersalah akibat kegagalan melaksanakan tanggungjawab kontraktor dalam memastikan keselamatan pembinaan dan telah menyebabkan 11 kematian (tiga orang awam dan lapan pekerja),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, semua syarikat-syarikat tersebut dikenakan denda dari RM50,000 ke RM250,000 oleh mahkamah atas kesalahan yang disabitkan.

Jelasnya, sekiranya ada kegagalan dalam memastikan keselamatan tidak menyebabkan kematian, CIDB juga akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kontraktor.

“Bagi insiden di tapak pembinaan SUKE di Persiaran Alam Damai Cheras, siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan oleh beberapa agensi penguat kuasa yang berkaitan termasuk CIDB, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“CIDB menguatkuasakan Akta 520, manakala JKKP menyiasat di bawah peruntukkan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan DBKL menggunakan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dan lain-lain undang-undang serta peraturan yang berkaitan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Ahmad ‘Asri berkata, insiden di SUKE pada 3 Mac lalu, siasatan CIDB setakat ini mendapati bahawa kontraktor yang terlibat telah mematuhi semua keperluan pengurusan lalu lintas untuk projek pembinaan.

“Dalam situasi seperti ini, pemandu kenderaan berat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan kenderaan mereka mengikut had ketinggian yang dipaparkan pada papan tanda jalan projek pembinaan atau mengambil laluan alternatif jika sebaliknya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI