PETALING JAYA – Seramai 54 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada tangkapan itu, kesemuanya telah dikompaun.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (21), tidak memakai pelitup muka (17), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (6), aktiviti pusat hiburan (5), tiada penjarakan fizikal (3), langgar perintah kuarantin (1) dan memasuki kawasan PKPD tanpa kebenaran (1),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Ops Benteng semalam telah menangkap 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sebuah bot dan kapal serta 11 buah kenderaan darat.
“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 131 buah bot dan kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.
“Ops Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 266 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain Ismail Sabri memaklumkan, seramai 836 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 152,570 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 75 hotel dan sembilan Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 6,802 individu telah dikuarantin dan 144,647 orang dibenarkan pulang manakala 1,121 lagi dibawa ke hospital,” ujarnya. -K! ONLINE