IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan ‘bayaran tanpa tunai’ di hampir semua Bazar Ramadan bawah seliaannya tahun ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kaedah urus niaga tanpa penggunaan wang tunai itu dilaksanakan dengan kerjasama Maybank Berhad.
“Sehubungan itu, pengunjung dan peniaga Bazar Ramadan adalah dialu-alukan menggunakan aplikasi ‘e-wallet’ sejajar dengan hasrat MBI ke arah bandar raya ‘smart city’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rumaizi, aktiviti Bazar Ramadan tahun ini akan melibatkan sebanyak 1,065 lot petak niaga di 25 lokasi dengan pengamalan norma baharu mencegah penularan Covid-19.
Jelas Rumaizi, antaranya termasuk penjarakan fizikal dengan petak niaga dijarakkan tiga meter antara satu sama lain, mewajibkan peniaga memakai pelitup muka dan sarung tamgan serta menyediakan pengimbas suhu badan, alat penyahkuman di pintu masuk bazar.
Pada masa sama, katanya, penjaja yang berminat untuk menjalankan perniagaan Bazar Ramadan mestilah seorang yang sihat, tidak bergejala, telah mendapatkan suntikan anti-typhoid, telah menghadiri kursus pengendalian makanan dan berpengalaman menjalankan perniagaan makanan.
Rumaizi berkata, pengiurusan penganjuran bazar akan diserahkan sepenuhnya kepada penganjur yang berkredibiliti, berpengalaman dan mempunyai rekod penganjuran yang baik pada tahun-tahun sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, aktiviti pemantauan dan kawalan terhadap operasi Bazar Ramadan tahun ini masih dijalankan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran serta Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa MBI,” katanya. – K! ONLINE