fbpx

Seramai 5.94 juta pemohon lulus i-Sinar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meluluskan pengeluaran sebanyak RM52.48 bilion menerusi Program i-Sinar setakat 14 Mac lalu dengan RM32.74 bilion telah dikreditkan ke dalam akaun pemohon.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelulusan itu membabitkan kelulusan bagi 5.94 juta pemohon.

Menurutnya, mulai 8 Mac lalu, kelayakan permohonan kemudahan i-Sinar telah ditambah baik bagi membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup.

“Setakat 12 Mac lalu, jumlah pengeluaran kumulatif bagi Skim i-Lestari adalah sebanyak RM19.45 bilion membabitkan 5.23 juta penerima.

“Ini menunjukkan peningkatan berbanding RM18.58 billion yang melibatkan 5.18 juta penerima pada minggu sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-46 secara maya hari ini.

Sebelum ini, KWSP memansuhkan syarat permohonan i-Sinar atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pemansuhan syarat i-Sinar itu membolehkan ahli KWSP yang berumur kurang daripada 55 tahun membuat pengeluaran daripada simpanan Akaun 1, tertakluk kepada baki.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, setakat 14 Mac lalu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
telah membantu lebih daripada 18,000 pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM 85.96 juta.

Menurutnya, Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Perkeso juga telah berjaya menyalurkan RM366.37 juta kepada lebih 107,000 individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun lepas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI