fbpx

Mabuk: Wanita warga China punca nahas 5 kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar yang menyaksikan seorang wanita warga China yang memandu dalam keadaan mabuk dipercayai menjadi punca nahas 5 kenderaan di Jalan Bunga Mawar 5A, Taman Muda, Ampang malam tadi.

PETALING JAYA – Seorang wanita warga China yang memandu dalam keadaan mabuk dipercayai menjadi punca nahas membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Bunga Mawar 5A, Taman Muda, Ampang malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, suspek yang berusia 54 tahun itu telah menyebabkan kereta jenis Proton Wira, Proton Saga, Honda City, Chevrolet dan Mazda mengalami kerosakkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohammed Farouk Eshak berkata, kemalangan terbabit bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek di Jalan Bunga Cempaka 2 telah hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kereta jenis Mazda yang diparkir di bahu jalan.

“Suspek kemudiannya telah mengundurkan kereta dan melanggar kereta Honda City mengakibatkan kereta terbabit teranjak dan melanggar kereta jenis Chevrolet,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, suspek seterusnya telah memandu ke arah Jalan Bunga Mawar 5a sebelum sekali lagi hilang kawalan dan melanggar sebuah tiang lampu serta kereta jenis Proton Saga yang diparkir di bahu jalan.

“Hasil ujian kandungan alkohol dalam darah suspek mendapati tahap kandungan telah melebihi had yang ditetapkan.

“Suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Mahkamah Majistret Ampang juga telah mengeluarkan arahan reman sehingga Sabtu ini,” jelasnya.

Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Insp Nur Nadzirah binti Abdul Rahim di talian 012-4401093.- K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI