GEORGE TOWN – Seorang guru agama lelaki berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meliwat dan amang seksual terhadap seorang pelajarnya berusia 15 tahun pada November hingga Mac lalu.
Tertuduh yang memakai baju dan seluar hitam itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu ke atas seorang pelajar lelaki di sebuah rumah di Teluk Kumbar dekat sini di antara 20 November tahun lalu hingga 14 Mac lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dia bakal berdepan hukuman penjara di antara lima tahun sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim, manakala tertuduh diwakili peguam, Md. Yusuf Md. Idris.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain turut mengenakan syarat tambahan agar tertuduh tidak boleh menghampiri mangsa.
Kes itu akan disebut semula pada 26 April depan. – K! ONLINE