PETALING JAYA – “Panggil Umi, jangan panggil nanny. Terasa tua sungguh.”
Itu respons keterujaan penyanyi Irama Malaysia Noraniza Idris saat menimang cucu pertama setelah anak sulungnya, Mohd. Aliff Haiqal Mohd. Fauzi mendapat cahaya mata semalam.
Penyanyi yang berusia 53 tahun itu menyifatkan kelahiran cucu sulung yang diberi nama Hannah sebagai hadiah paling istimewa dalam hidupnya.
“Syukur alhamdulillah. Semua selamat. Ibu dan anak sihat. Hadiah terbesar dalam sejarah asas kehidupan manusia bila di ‘watikah’ (dilantik) menjadi nanny (nenek) hari ini (semalam).
“Tahniah Aliff @Beeleaf Active mama. Terima kasih bawa Hannah untuk kami hari ini,” ujar penyanyi yang mesra disapa Kak Ani dalam Facebook miliknya.
Lebih membahagiakan pelantun lagu Dikir Puteri itu apabila cucunya turut berkongsi tarikh hari lahir yang sama dengan Aliff iaitu pada tanggal 23 Mac.
“Hari ini (23 Mac) adalah hari besar yang sangat bermakna untuk Aliff. Sempena hari lahir Aliff. Ada satu hadiah paling istimewa tak ternilai dengan wang ringgit. Hadiah kehadiran satu lagi nadi kehidupan yang sangat besar ertinya dalam hidup berumah tangga.
“Insya-Allah. Semoga Allah SWT melindungi kehadirannya ke dunia realistik. Hadiah ini istimewa untuk seluruh keluarga. Buat pertama kalinya lahir seorang lagi keturunan Noraniza Idris dan Haji Idris. Semoga Aliff menjadi suami berdedikasi buat Hannah dan keluarga,” tulisnya.
Dalam kesempatan itu, Noraniza turut memberikan ucapan penghargaan kepada menantu kesayangannya, Ezza Nafiesha kerana menjadi isteri dan menantu yang baik.
“Terima kasih buat isteri yang sangat memahami anak mama. Terima kasih jagakan Aliff untuk mama. Jaga penuh kasih sayang.
“Perhatian paling bermakna dalam hidupnya. Hadiahkan sesuatu yang sangat besar dan paling bermakna buat kami membawa gelaran nanny untuk mama buat pertama kalinya. Ezza Nafiesha terima kasih anak yang baik,” katanya. – K! ONLINE