JOHOR BAHRU – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Yayasan Temasek dari Singapura menyumbangkan sejumlah 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri yang keseluruhannya bernilai bernilai RM25 juta.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar sumbangan pelitup muka boleh dibasuh dan anti bakteria itu akan disampaikan kepada masyarakat seluruh negeri termasuk murid dan pelajar sekolah secara percuma.
Titah baginda, mesin pelitup muka layan diri pula akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik diseluruh daerah secara berperingkat.
“Penempatan lokasi mesin di semua daerah akan ditentukan kerajaan negeri bersama YSIJ bagi memastikan edaran pelitup muka dapat disampaikan kepada rakyat seluruh Johor.
“Hasrat saya adalah untuk memastikan pelitup muka ini mudah diperoleh semua rakyat dalam menjaga kesihatan masing-masing,” titahnya.
Baginda bertitah demikian kepada Royal Press Office dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Pelitup muka berkenaan akan diserahkan kepada setiap rakyat negeri ini dengan setiap seorang menerima pek mengandungi dua keping pelitup muka bercirikan anti bakteria dan boleh diguna semula sehingga 30 kali bagi setiap keping.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili serta Mejar Cina, Datuk David Wong.
Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa melihat mesin pelitup muka layan diri di Istana Pasir Pelangi di sini.
Dalam program itu juga, baginda berkenan menyerahkan lebih 620,000 pelitup muka untuk kegunaan murid dan pelajar sekolah kepada Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, beliau mewakili warga pendidik menjunjung kasih atas sumbangan pelitup muka kepada murid dan pelajar sekolah di Johor. – K! ONLINE