fbpx

Selangor benar lebih 1,000 jemaah solat di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Umat Islam di Selangor dibenar menunaikan solat sunat tarawih tahun ini di masjid dan surau mengikut syarat dan kapasiti ditetapkan.

Kosmo! difahamkan, bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah seramai 1,500 jemaah lelaki dan 250 jemaah wanita dibenarkan.

Bagi Masjid Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah kapasiti dibenarkan 1,000 jemaah lelaki dan 250 jemaah wanita.

Masjid pengurusan, masjid kariah dan masjid institusi pula jumlah dibenarkan seramai 450 jemaah lelaki dan 100 jemaah wanita.

Manakala, seramai 200 jemaah lelaki dan 50 jemaah wanita boleh menunaikan solat sunat tarawih dan aidilfitri di surau solat Jumaat.

Bagi surau kariah pula cuma 50 jemaah lelaki diberi kebenaran menunaikan solat sunat berkenaan tahun ini.

Sumber pengurusan sebuah surau di Selangor memberitahu, syarat ditetapkan pula antaranya kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan.

“Kehadiran secara ‘walk in’ atau ‘first come first serve’ boleh dilaksanakan mengikut
pertimbangan pejabat agama daerah.

“Berbuka puasa dan moreh dibenarkan untuk pentadbir dan petugas tidak melebihi 25 orang. Boleh sediakan makanan berbuka seperti kurma, buah dan air mineral untuk jemaah transit,” kata sumber.

Menurut sumber lagi, juadah moreh boleh disediakan oleh penyedia makanan yang dilantik dan diedarkan secara bungkus untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, penyediaan juadah berbuka secara bergotong royong di masjid atau surau tidak dibenarkan.

Tambah sumber, penyediaan juadah berbuka oleh penyedia makanan untuk diedarkan terus kepada barisan hadapan juga dibenarkan.

“Memasak bubur lambuk oleh penyedia makanan dan diedarkan terus ke rumah ahli kariah adalah dibenarkan,” jelas sumber.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, majlis tahlil dan doa boleh dilaksanakan oleh pegawai masjid tidak melebihi tempoh 20 minit.

Ia boleh dilakukan sebelum masuk waktu berbuka, selepas solat maghrib atau solat tarawih, manakala tazkirah Ramadhan boleh dilaksanakan selepas solat Maghrib atau selepas solat sunat tarawih.

Tadarus dan khatam al-Quran juga boleh dilaksanakan selepas solat sunat tarawih dan dibenarkan menggunakan pembesar suara dalam dewan solat.

Bagi qiamulail dan sahur pula dibenarkan dilaksanakan di semua masjid dan surau bermula pukul 4 pagi

“Kutipan zakat fitrah keutamaan pembayaran secara dalam talian. Pembayaran secara manual boleh dilakukan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Aktiviti gotong royong membersihkan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam dibenarkan maksimum 30 orang,” kata sumber.

Selain itu, solat sunat aidilfitri dibenarkan dilaksanakan di semua masjid dan surau dan jumlah jemaah mengikut ketetapan jemaah solat sunat tarawih iaitu 200 muslimin dan 50 muslimat.

Solat sunat aidilfitri diselaraskan bermula pukul 8.30 pagi dan ziarah tanah perkuburan dibenarkan di akhir bulan Syaban, akhir Ramadhan atau selepas solat sunat aidilfitri.

“Had bilangan tidak melebihi enam orang bagi satu lot kubur dalam satu-satu masa,” kata sumber. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI