fbpx

Pasangan selebriti akan dipanggil beri keterangan – PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tindakan sepasang suami isteri selebriti memuat naik gambar yang didakwa netizen sebagai sesi bulan madu mereka ke laman media sosial menerima kecaman dan menimbulkan persoalan bagaimana mereka dapat melakukan perjalanan rentas negeri.

WANGSA MAJU – Polis mengesahkan akan memanggil pasangan suami isteri selebriti untuk diambil keterangan selepas dikatakan pergi berbulan madu di Semporna, Sabah baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 20 Mac lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun telah datang ke Balai Polis Setapak kira-kira pukul 5 petang untuk memohon kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri ke Sabah.

“Pemohon ada mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat dan berdasarkan dokumen itu, pihak polis meluluskan permohonan rentas negeri yang bermula pada 21 hingga 25 Mac ini.

“Bagaimanapun, gambar lelaki berkenaan bersama isterinya yang berusia 31 tahun telah tular di media sosial dan dikatakan pergi ke sana untuk berbulan madu di kawasan peranginan,”katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ashari, penularan gambar pasangan itu telah mengakibatkan orang ramai mempertikaikan bagaimana mereka boleh mendapat kebenaran merentas negeri ke Sabah.

“Setakat ini pasangan tersebut masih berada di Sabah dan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis sebaik mereka kembali ke Semenanjung.

“Siasatan akan dijalankan secara terperinci berhubung dakwaan itu dan jika pasangan tersebut didapati memberikan keterangan palsu untuk merentas negeri, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil kesempatan di atas budi bicara pihak polis dalam memberikan kebenaran rentas negeri bagi urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau maklumat, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Terdahulu, gambar pasangan itu yang baharu berkahwin pada 12 Mac lalu tular di media sosial dan menerima kritikan daripada netizen yang mempersoalkan bagaimana mereka dapat merentas negeri ke Sabah untuk berbulan madu. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI