KUALA SELANGOR – Pensyarah bukan perubatan di seluruh negara dijangka menerima vaksin Covid-19 pada fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijangka bermula bulan depan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, golongan tersebut perlu diberikan vaksin segera memandangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) telah dibuka secara berperingkat, sejak 1 Mac lalu.
“Pensyarah perlu mengisi borang secara dalam talian yang disediakan oleh IPT masing-masing.
“Borang itu perlu dihantar semula ke IPT untuk IPT tersebut menghantar ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui (aplikasi) MySejahtera,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan projek pembangunan hospital pengajar Universiti Teknologi Mara (HPUiTM) Puncak Alam, di UiTM Puncak Alam, di sini, lewat petang tadi.
Noraini memberitahu, PKD akan menentukan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) pensyarah berkenaan berdasarkan tempat tinggal pensyarah itu.
“Manakala untuk pelajar IPT pula, mereka dijangka akan menerima vaksin pada fasa ketiga,” katanya.
Mengulas mengenai projek HPUiTM, Noraini berkata, hospital yang bernilai RM599 juta itu dijangka beroperasi secara berperingkat mulai 5 April ini.
“Hospital berkenaan mempunyai 10 tingkat dengan kapasiti 400 buah katil, 98 klinik pakar, 17 buah dewan bedah, 17 wad dan 16 kerusi dialisis serta fasiliti pembelajaran yang boleh memuatkan 750 pelajar pada satu-satu masa,” jelasnya. – K! ONLINE.