fbpx

Kren jatuh: kerja pengukuhan struktur masih giat dilakukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja menstabilkan struktur binaan sedang giat dilakukan sebelum mayat mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja penstabilan struktur sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat sebelum usaha untuk mengangkat komponen kren yang jatuh dapat dilakukan sekaligus mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat dihempap dalam kejadian di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini semalam.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di lokasi, Pegawai Kanan Bomba 1 Khairul Azuan Ibrahim berkata, kerja-kerja penstabilan ‘U Beam’ dengan menggunakan ‘I Beam’ sedang dilakukan sebelum dapat melakukan angkatan pada komponen kren yang menghempap mangsa.

“Proses penstabilan sedang dilakukan dengan menggunakan ‘I beam support’ sebelum angkatan dapat dilakukan dengan kren mudah alih dan seterusnya mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

Difahamkan, pasukan penyelamat perlu mengambil masa untuk meneliti langkah-langkah yang akan dilakukan bagi mengelakkan berlakunya runtuhan melibatkan struktur sedia ada yang telah dihempap oleh komponen kren tersebut.

Tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian mendapati kerja menstabilkan struktur sedang giat dilakukan dengan beberapa pertambahan dapat dilihat di bahagian atas struktur termasuk kerja-kerja kimpalan yang masih berjalan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (Perkrema Malaysia), Raziz Abdul Rahman berkata, usaha pasukan penyelamat termasuk anggota-anggota bomba di lokasi wajar dipuji kerana tidak tergesa-gesa bertindak untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Ramai tanya kenapa lambat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit namun tindakan mereka ini (pasukan penyelamat) wajar dipuji kerana menitik beratkan aspek keselamatan awam.

“Jika mereka tergesa-gesa dan memotong sahaja komponen kren yang menghempap mangsa ini, mungkin akan berlaku perkara lain yang tidak diingini seperti runtuhan yang sudah pasti buruk akibatnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI