SEREMBAN – Taktik menjadikan gudang di kawasan pedalaman sebagai lokasi untuk memproses minuman keras tiruan bagi mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya.
Aktiviti haram di sebuah premis gudang di Kuala Sawah, Rantau itu berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit 1, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan melakukan serbuan pada 16 Mac lalu.
Menurut Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir, sindiket berkenaan menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembotolan secara haram dengan anggaran keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai dalam serbuan tersebut adalah sebanyak RM3.12 juta.
“Hasil pemeriksaan mendapati gudang tersebut dijadikan kilang memproses dan membotol minuman keras tiruan pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.
“Ketika serbuan dilakukan, orang yang disyaki dikenal pasti sebagai pekerja telah melarikan diri kerana dapat mengesan kehadiran anggota Kastam melalui beberapa kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam kilang tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Abdul Latif, kuantiti minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 59,104 liter yang melibatkan nilai sebanyak RM344,644.80 dan jumlah duti serta cukai terlibat sebanyak RM1.952 juta.
“Turut disita adalah beberapa mesin memproses bahan mentah, set tangki penapaian, mesin label cap dagang dan peralatan makmal serta bahan mentah yang disyaki ‘malt’ yis, methanol, beberapa tong gas karbon dioksida dan satu unit ‘forklift’ di mana jumlah keseluruhan rampasan mesin dan peralatan dianggarkan berjumlah RM1 juta,” jelasnya – K! ONLINE.