PETALING JAYA- Pemuda UMNO Bandar Tun Razak menegaskan supaya pemaju projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihadapkan ke muka pengadilan ekoran kecuaian mereka.
Ketua Pemudanya, Ashrul Ashryzad berkata, pihaknya mempersoalkan kekerapan tragedi yang berlaku semasa pembinaan projek itu hingga meragut beberapa nyawa.
“Saya amat bimbang dengan kekerapan tragedi yang berlaku di laluan itu, adakah semua kejadian itu disebabkan oleh masalah teknikal atau kelalaian pihak kontraktor pemaju?
“Sebagai pemaju projek pembinaan yang besar, aspek keselamatan tidak seharusnya dikompromi dalam apa juga keadaan lebih lagi membabitkan laluan utama pengguna kenderaan,” katanya di sini tadi.
Terdahulu, Pemuda UMNO Bandar Tun Razak membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan susulan kejadian kemalangan yang berlaku semalam.
Katanya, pemaju harus mengambil langkah-langkah keselamatan dengan menutup atau melencongkan laluan buat sementara waktu ketika kerja-kerja kritikal atau berbahaya dilaksanakan.
“Jadi, kami mencadangkan supaya diwujudkan satu badan khas bagi menjalankan siasatan terperinci setelah dua kali kejadian seumpamanya menimpa pengguna jalan raya,” ujarnya. -K! ONLINE