fbpx

Sembilan rumah dibadai ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Robiah melihat keadaan rumahnya yang rosak teruk akibat dibadai ribut.

Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA

KUANTAN – “Dalam keadaan menggigil ketakutan, saya hanya mampu berlindung di dalam bilik kerana angin terlalu kuat sehingga rumah saya bergegar dan sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan angin,”kata warga emas Robiah Ghani, 60, yang merupakan mangsa kejadian ribut di Kampung Beserah Baru, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, sembilan buah rumah termasuk sebuah kedai runcit mengalami kerosakan selepas hujan beserta angin kencang membadai sekitar kawasan berkenaan.

Robiah berkata, dia yang tinggal seorang diri di rumah itu sejak enam tahun lalu mengakui sudah tiga kali bumbung rumahnya rosak akibat angin kencang, namun kejadian ribut kali ini adalah paling teruk.

Katanya, dia kini terpaksa menumpang di rumah adiknya, Rafeah Ghani, 50, yang terletak tidak jauh dari rumahnya berikutan tidak mampu membaiki kerosakan bumbung yang memerlukan kos yang tinggi.

“Kali ini hampir seluruh bumbung bahagian dapur dan sebahagian bumbung ruang tamu diterbangkan angin manakala air memenuhi bahagian dapur serta merosakkan barangan elektrik,”katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Sementara itu seorang lagi mangsa, Noraini Yaakob, 56, berkata, dia terkejut melihat sebahagian bumbung kedai runcit miliknya sudah tiada akibat diterbangkan angin ketika mahu mula berniaga kira-kira pukul 7 pagi tadi.

“Saya juga diberitahu, kayu alang bumbung dari kedai saya turut terbang dan menghempap tingkap sebuah rumah yang terletak bersebalahan menyebabkan kerosakkan pada tingkap rumah terbabit,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turun padang untuk menghulurkan bantuan awal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI