LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho mengakui kekecewaan akibat tersingkir daripada saingan Liga Europa minggu lalu menjadi pencetus semangat untuk mereka mencatat kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa awal pagi semalam.
Kemenangan itu menyaksikan Spurs kembali bersemangat untuk memburu kelompok empat pasukan teratas sekali gus mara ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas tewas dengan agregat 2-3 kepada Dinamo Zagreb pada pentas Liga Europa musim ini.
Jaringan pembukaan menerusi Carlos Vinicius dan Harry Kane membolehkan Spurs melonjakkan kedudukan ke tempat keenam, tiga mata dibezakan dengan Chelsea yang berada di kedudukan keempat.
“Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi kesedihan kerana tersingkir daripada Liga Europa masih terasa, namun kami memberikan respons dengan baik ekoran kekalahan itu.
“Saya tidak mahu keputusan ini dianggap sebagai reaksi kepada kekalahan lalu tetapi kami sepatutnya menjadikan ia sebagai mentaliti dan semangat setiap kali turun beraksi.
“Saya fikir ini adalah cabaran buat kami untuk menjadikannya satu komitmen, kesungguhan dan pengorbanan yang perlu dikekalkan dalam baki perlawanan musim ini.
“Kami mempunyai kemampuan dan kesungguhan tetapi gagal menunjukkannya pada beberapa perlawanan lalu,” katanya.
– AGENSI