SAN SEBASTIAN – Jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menerima hadiah hari lahir paling sempurna selepas pasukannya membelasah Real Sociedad 6-1 pada aksi La Liga di Stadium Anoeta awal pagi semalam.
Lionel Messi dan Sergino Dest masing-masing menjaringkan dua gol pada perlawanan itu, sementara dua gol lagi dijaringkan Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan Barcelona terus memberi tekanan kepada pasukan pendahulu, Atletico Madrid dalam perebutan takhta kejuaraan liga musim ini.
“Kami bermain dengan sangat baik dan saya anggap ia sebagai hadiah hari lahir paling berharga. Saya gembira dengan aksi yang ditampilkan semua pemain.
“Walaupun sukar untuk membuka tirai jaringan, namun segalanya serba menjadi apabila kami meledak gol kedua. Bahagian serangan sangat tajam pada perlawanan ini,” kata Koeman yang baru menyambut hari lahir ke-58.
Bekas pengendali skuad antarabangsa Belanda itu turut menggesa pemain-pemainnya mengekalkan rentak cemerlang memandangkan mereka akan berdepan aksi sukar selepas ini.
“Saya tahu banyak perlawanan sukar selepas ini, jadi amat penting untuk kekalkan rentak seperti ini. Saya yakin semua pemain juga tidak mahu alami kekalahan,” ujarnya. – AGENSI