NAMA pelakon Go Min-si tiba-tiba hangat selepas beberapa keping gambar menunjukkan dirinya sedang mabuk berlegar dalam internet.
Biarpun gambar tersebut dirakam ketika usianya masih belasan tahun, Min-si tidak menunggu lama untuk memberi maklum balas. Aktres itu tampil membuat permohonan maaf menerusi Instagramnya pada 20 Mac lalu.
“Saya dengan rendah hati ingin membuat permohonan maaf susulan tersebarnya kelakuan saya sedang mabuk ketika usia remaja.
“Ramai peminat berharap dalam gambar tersebut bukanlah saya. Ada juga yang mendesak supaya saya segera tampil memohon maaf.
“Saya tidak akan menafikannya. Orang dalam gambar tersebut memang saya,” tulisnya.
Dia juga enggan menggunakan alasan belum matang dan kisah lama bagi menutup kesalahannya.
“Saya tahu, mungkin ada yang terluka disebabkan isu ini. Saya juga sedar dengan kesilapan lampau dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang terjadi,” katanya lagi.