HOBOKEN, New Jersey – Pelan bagi membina sebuah bandar lestari pertama di Planet Marikh dilancarkan oleh firma arkitek ABIBOO, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Diberi nama Nüwa, bandar utama itu merupakan salah satu daripada lima bandar Marikh yang dirancang pembinaannya di Tempe Mensa iaitu sebuah kawasan di planet berkenaan. Bandar itu akan dibina secara menegak dan bukan mendatar bagi mengurangkan tekanan atmosfera dan radiasi berbahaya.
Memandangkan air dan karbon dioksida boleh berada di permukaan Marikh, dua elemen itu akan membantu ABIBOO mencipta besi yang dihasilkan secara eksklusif menggunakan bahan-bahan di Planet Merah itu.
Bandar itu akan merangkumi semua binaan utama yang ada di Bumi seperti rumah, pejabat dan juga taman.
Pengasas ABIBOO, Alfredo Muñoz berkata, syarikat itu melakukan analisis dan bekerjasama dengan ramai saintis bagi memahami keadaan yang akan dihadapi.
Mereka yang mengimpikan untuk menetap di Marikh bagaimanapun terpaksa memberi laluan kepada cucu atau cicit masing-masing memandangkan pembinaan Nüwa hanya akan bermula pada 2054 dan penduduk dijangka boleh berpindah menjelang tahun 2100.
Populasi bandar yang dirancang itu pula ialah seramai 250,000 penduduk.
Nama Nüwa diambil daripada karakter mitos dewi dari China.
Sumber makanan utama bagi penduduk Nüwa datang daripada tumbuh-tumbuhan dan aktiviti rekreasi pula sama seperti yang boleh dinikmati di Bumi daripada berkhemah sehinggalah aktiviti seni dan kraf.
Transisi kehidupan dari Bumi ke planet Marikh merupakan sesuatu yang agak rumit namun ia sama sekali tidak mustahil.
Penerbangan ulang-alik dari Bumi ke Marikh akan beroperasi setiap 26 bulan dan setiap perjalanan memakan masa antara tiga hingga enam bulan.
Kos bagi tiket sehala dari Bumi ke Planet Merah itu dijangkakan sekitar AS$300,000 (RM1.2 juta) -Agensi