fbpx

Gagal lapor rasuah, bekas penyelia dijel 10 hari denda RM28,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Feeras (tengah) diiringi pegawai SPRM hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian suapan berjumlah RM6,000.

KUALA LUMPUR – Gara-gara gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian suapan berjumlah RM6,000, seorang bekas penyelia pembekal kandungan dihukum penjara 10 hari dan denda RM28,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Feeras Roslan, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan yang disabitkan ke atasnya.

Hukuman penjara 10 hari itu diperintah berjalan serentak. Bagaimanapun sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda dia boleh dipenjara sebulan lagi.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama hingga ketiga, Feeras didakwa gagal melaporkan pemberian sogokan yang dibuat melalui pindahan wang secara atas talian daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat OSK Telecommunication yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Wang yang kesemuanya berjumlah RM3,000 yang diberi sebanyak tiga kali iaitu RM1,000 itu diterima daripada seorang individu kerana memberikan maklumat aduan pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi terhadap tiga buah syarikat lain yang merupakan pembekal kandungan kepada syarikat telekomunikasi tersebut.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di antara 7 Mac 2018 hingga 4 Disember 2018 di CIMB Bank Cawangan Gleneagles Ampang, Jalan Ampang di sini.

Sementara bagi pertuduhan pilihan keempat, Feeras didakwa gagal melaporkan pemberian sogokan sebanyak RM3,000 daripada seorang individu bagi mengurangkan bayaran penalti daripada RM50,000 kepada RM40,000 yang dikenakan terhadap sebuah syarikat.

Kesalahan itu dilakukan sekitar Februari 2017 di kawasan parkir kereta terbuka di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini.

Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(2).

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Khairul Azwan dan Hanif Nasrullah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI