GUA MUSANG – Lebih 3,000 masyarakat Orang Asli membantah usaha pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri yang dijangka dilaksanakan kerajaan dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula Mac tahun depan.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, projek berkenaan harus dibatalkan sejak awal kerana ia bakal menjejaskan menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli.
Dakwanya, projek empangan itu juga dikhuatiri memusnahkan kawasan tapak warisan sejarah seperti Gua Cha, sumber air, hasil tanaman dan kawasan perkuburan nenek moyang di kawasan tanah adat.
“Pembinaan empangan ini dikatakan untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan elektrik sebanyak 320 megawatt. Empangan itu sebenarnya akan menenggelamkan 5,384 hektar kawasan hutan yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang.
“Empat buah penempatan Orang Asli akan terjejas secara langsung, manakala 18 kampung atau pos akan turut terjejas kerana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayah tenggelam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepasa pemberita selepas mengadakan perhimpunan bersama sekumpulan 30 orang penduduk Orang Asli yang membantah projek pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri di Kampung Jias A di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada pihak berkaitan bermula awal bulan April.
Katanya, mereka juga berharap masyarakat luar, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan ahli politik untuk menyokong dan bekerjasama dengan komuniti Orang Asli dalam kempen itu nanti. -K! ONLINE