fbpx

Ramai batal tempah lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIASANYA kandang sementara bagi menempatkan lembu korban yang dibeli penuh tetapi kini berkurangan, Zainul melihat beberapa ekor lembu yang dibeli dan ditempatkan di kandang sementara di Kampung Lebu di Bentong, Pahang.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

BENTONG – Saban tahun setiap kali Hari Raya Aidiladha penternak lembu pastinya tersenyum lebar apabila lembu ternakan mereka laris yang membuahkan hasil jualan yang lumayan.

Namun sambutan Hari Raya Aidiladha dalam situasi pandemik Covid-19 tahun ini memberikan suasana berbeza kepada penternak lembu apabila jualan lembu korban turun mendadak berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Jika sebelum ini Zainul Zaman Mahalim,57, dari Kampung Lebu di sini berjaya menjual sehingga 70 ekor lembu korban tetapi dalam sambutan Aidiladha kali ini hanya 15 ekor lembu sahaja yang dapat dijualnya.

Dia yang mempunyai kira-kira 300 ekor lembu pelbagai baka berkata, wabak Covid-19 yang memaksa pelbagai prosedur ditetapkan dalam ibadah korban menyebabkan ramai individu menangguhkan ibadah korban.

“Sejak menternak lembu 25 tahun lalu, tahun 2020 inilah menyaksikan jualan lembu semasa hari raya Aidoladha begitu sedikit sehingga memberi kesan kepada saya dan juga penternak lembu lain.

“Pelbagai prosedur operasi standard (SOP) yang terpaksa dilaksanakan dalam mengekang wabak Covid-19 menyebabkan ramai menangguhkan korban malah terdapat pembeli yang telah membuat tempahan membatalkannya pada saat akhir kerana bimbang tidak dapat mengikut SOP ditetapkan,”katanya ketika ditemui di kandang lembunya di Kampung Lebu di sini, hari ini.

Tambahnya, dia menerima dengan baik pembeli yang membatalkan tempahan kerana memahami situasi mereka serta menyokong usaha kerajaan menetapkan pelbagai SOP bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata, wabak berkenaan yang melanda negara turut memberi kesan kepada pendapatannya apabila orang ramai terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan akibat kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Katanya, bagi penternak lembu walaupun jualan berkurangan tetapi perbelanjaan bagi memberi makan dan menguruskan lembu semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Saya berharap dan berdoa agar wabak Covid-19 di negara kita cepat berakhir dan pada tahun hadapan korban pada Hari Raya Aidiladha dapat dilaksanakan seperti biasa,”katanya.

Sementara itu, Azrul Rizuan, 34, berkata, dia dan keluarga yang merancang mengadakan ibadah korban di kampungnya di Chemomoi di sini membatalkannya kerana tidak mendapat kebenaran mengadakan korban di rumah.

Katanya, dia juga bimbang jika ibadah korban diadakan di rumah akan menyebabkan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada keluarga dan penduduk kampung. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI