JOHOR BAHRU – Seramai 69 pengunjung yang sedang asyik berhibur di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, di sini terkedu setelah premis itu diserbu polis semalam.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Majidee telah membuat pemeriksaan kesemua pengunjung berusia 21 hingga 51 tahun sedang leka berseronok sambil minum arak.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pemeriksaan yang dibuat mendapati premis hiburan tersebut sedang beroperasi telah melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap lima lelaki tempatan, 44 lelaki warga Indonesia dan 20 wanita warga Indonesia.
“Polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis hiburan dan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Manakala empat lelaki tempatan yang merupakan pengunjung di premis tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, kesemua pengunjung premis warganegara Indonesia akan dibuat semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke dalam negara melalui Jabatan Imigresen.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah pemain DVD, dua unit Flery LED, tujuh unit amplifier, lampu laser dan tiga buah pembesar suara.
“Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kesemua individu didapati negatif dadah.
“Polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat awam. Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi perintah yang ditetapkan,” ujarnya.-K! ONLINE