KUALA LUMPUR – Tiga pekerja pembinaan disahkan maut manakala tiga lagi terselamat selepas struktur kren tumbang dan menghempap sebuah kenderaan di projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, di sini hari ini.
Salah seorang daripada dua mangsa yang terselamat merupakan pemandu kereta Perodua Bezza yang mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kaki.
Pemandu kenderaan warga tempatan itu kini dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, setakat ini kesemua mangsa sudah berjaya dibawa keluar kecuali seorang lagi mangsa yang juga pekerja pembinaan masih terperangkap di atas kerangka struktur setinggi kira-kira 120 kaki (36.5 meter).
“Kerja-kerja membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan dan kita mendapat kerjasama daripada kontraktor untuk mengangkat beban yang menindih mangsa.
“Kita jangka tiga jam pertama dari sekarang, bebanan dapat diangkat dan mangsa yang terhimpit berjaya dibawa keluar,” ujarnya kepada pemberita di lokasi hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, laluan di lokasi kejadian ditutup sementara waktu sehingga kerja-kerja menyelamat dan siasatan selesai.
“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif menerusi lencongan ke Jalan Cerdas,” ujarnya.
Berkenaan punca kejadian pula, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH), Ir. Zailee Dollah berkata, ia belum dapat dikenal pasti.
“Kita sekarang sedang fokus kerja-kerja menyelamat dan prosedur terbaik yang dapat digunakan agar kerja-kerja menyelamat dapat dilaksanakan dengan cara selamat,” ujarnya. – K! ONLINE