fbpx

Tekong, enam PATI baru mendarat diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wanita warganegara Indonesia yang ditahan PGA dalam operasi di Sungai Penerok, Pontian, Johor pagi semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai enam migran wanita warga Indonesia yang baru sahaja menjejakkan kaki ke negeri ini dicekup sepasukan polis Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Sungai Penerok, Pontian, dekat sini semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, anggotanya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

Katanya, lelaki tempatan itu disyaki berperanan sebagai pengurus kepada kesemua suspek dan juga bertindak sebagai tekong darat.

“Dalam operasi yang dijalankan, kita menahan enam wanita dewasa warganegara Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 51 tahun yang dipercayai baru saja mendarat ke kawasan Sungai Penerok.

“Turut ditahan ialah seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 40 tahun juga dipercayai bertindak sebagai tekong darat di sekitar kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam tangkapan itu, Dimin memberitahu, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis Naza Ria yang dipercayai digunakan sebagai pengangkutan untuk mengambil kesemua suspek.

Tambahnya, tangkapan dan rampasan yang dianggarkan berjumlah lebih RM66,000 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

“Batalion 5 PGA menyeru kepada orang awam
untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang tanpa izin dijalan yang tidak diwartakan,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2010).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI