PETALING JAYA – Kuala Lumpur (KL) Wildcats terus menjadi igauan ngeri buat pasukan-pasukan Netball Super League (NSL) apabila membelasah Kedah Sunshine 86-29 pada aksi Kumpulan A di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.
Sebaik perlawanan dimulakan, KL yang dibimbing Norizan Rajab itu menampilkan aksi garang apabila melakukan serangan demi serangan sehingga membuatkan barisan pertahanan Kedah ‘lemas’.
Menerusi sentuhan goal shooter (GS), Puteri Intan Balqis Mohd. Dzulkefli, KL terus mengutip mata demi mata sebelum menamatkan suku masa pertama dengan mendahului 22-5.
Sebaik suku masa kedua bermula, KL dilihat tidak mengendurkan asakan, sebaliknya terus memperhebatkan serangan, sekali gus mendahului perlawanan dengan perbezaan mata yang besar 41-12.
Goal attack (GA) Kedah yang direhatkan, Siti Aishah Abdul Rahim kembali dimasukkan bagi melakukan perbezaan, namun masih belum mampu untuk mengejar kedudukan skuad warga kota itu.
Bersambung suku masa ketiga, KL terus ghairah menambah jaringan, sekali gus menambah derita Kedah yang menyaksikan mereka ketinggalan 20-63.
Kedah cuba bangkit pada suku masa keempat untuk sekurang-kurangnya merapatkan jurang, namun kekebalan benteng pertahanan KL menafikan hasrat mereka itu.
KL terus mengutip mata demi mata sebelum menamatkan perlawanan menerusi kemenangan bergaya 86-29, sekali gus kemenangan terbesar kedua selepas membelasah Melaka Mystic 91-13 Jumaat lalu.
Pada aksi minggu hadapan, KL dijadualkan bertemu Melaka Mystic dan Perak Phoenix manakala Kedah juga akan menentang Melaka Mystic dan Perak Phoenix. – K! ONLINE.