PASUKAN pilihan, Johor Jewels membuktikan kehebatan mereka apabila membenam cabaran Negeri Sembilan Venom 67-30 pada aksi Kumpulan B Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Kecekapan goalshooter Johor, Nuraina Raziani nyata memberi kelebihan buat pasukan dari selatan tanah air itu apabila banyak menyumbang mata sepanjang perlawanan.
Selain itu, pergerakan Johor ketika melakukan serangan juga sangat lancar apabila dibantu oleh kepakaran pemain centre kebangsaan, Pow Mei Foong.
“Walaupun kami menang tetapi mereka (Negeri Sembilan) sudah berikan tentangan cukup sengit dan saya akui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki untuk berada pada tahap terbaik.
“Kami akan berehat seminggu selepas ini, jadi ia peluang terbaik untuk Johor memperkemaskan persefahaman sebagai satu pasukan. Komunikasi adalah satu elemen penting dalam bola jaring,” kata goalshooter Johor, Anis Syazwani Apandi.
Secara keseluruhan, Johor menampilkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan dan keputusan itu sekali gus mampu mencerahkan peluang mereka melangkah ke pusingan seterusnya.
Bagi aksi seterusnya, Johor Jewels dijadualkan bertemu Pahang Tulips manakala Negeri Sembilan akan menentang Selangor Angels hujung minggu ini.
Sebagai rekod, pasukan yang menghuni dua kedudukan teratas dalam saingan peringkat kumpulan akan melayakkan diri ke pentas separuh akhir yang dijadualkan berlangsung 10 April depan.