fbpx

Tuah Midea di sebalik impak Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sembang Korporat

Siapa sangka, impak pandemik Covid-19 telah memberi satu kelebihan buat perniagaan perkakasan elektrik rumah pada tahun lalu dengan mencatat trend pertumbuhan jualan yang menggalakkan dan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Bagi Midea Scott & English Electronics Sdn. Bhd. (Midea), ini adalah perubahan kepada norma baharu yang mendorong masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di rumah dengan memasak dan menggunakan peralatan elektrik, menyimpan stok makanan di dalam peti sejuk serta menggunakan penghawa dingin kerana cuaca yang terlalu panas.

“Midea menjadi pilihan kerana kami menawarkan pelbagai produk berkualiti tetapi dijual pada harga mampu milik selain memiliki ciri-ciri penjimatan tenaga elektrik,” kata Pengurus Besar Midea, Mark Tam ketika ditemu bual oleh wartawan Kosmo!, Daliza Mohamed Ariffin bersama jurugambar, Fauzi Baharudin di sebuah hotel terkemuka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Midea yang bertapak selama 16 tahun di Malaysia telah menjadi pilihan golongan muda dan keluarga yang baharu mendirikan rumah tangga.

Teknologi ke hadapan yang sentiasa diperkenalkan di 17 buah kilangnya di China telah memberi kelebihan kepada syarikat untuk terus memperkenalkan pelbagai produk berteknologi tinggi setiap tahun bagi memudahkan lagi aktiviti harian masyarakat di negara ini.

Kosmo!: Apakah perkembangan terbaharu Midea?
Tam: Tahun lalu apabila negara dilanda wabak Covid-19, kami adalah salah satu industri yang bertuah. Perkembangan industri pada masa itu sangat berse­suaian dengan suasana yang mana rakyat terpaksa duduk di rumah, buat kerja di rumah, le­bih banyak buat aktiviti memasak.

Jadi permintaan terhadap pe­­­r­alatan elektrik semakin bertambah dan jumlah permintaannya jauh berbeza dari tahun sebelum ini.

Terdapat jualan yang baik juga untuk mesin basuh sebab orang ramai begitu mengambil berat tentang kebersihan kerana selepas balik sahaja ke rumah, mereka akan segera membasuh baju.

Dalam masa sama, kedai dobi layan diri juga tidak bero­perasi (akibat Perintah Kawalan Perge­rakan), jadi orang ramai banyak membeli mesin basuh. Kebetulan pula cuaca semakin panas dan ramai orang banyak membeli pendingin hawa.

Adakah trend pembelian barangan elektrik yang me­ningkat akan berterusan pada masa depan?
Ramai orang tidak mampu berbelanja besar untuk membeli barangan elektrik, jadi mereka akan memilih Midea.

Sekarang barangan elektrik bukan satu barangan mewah tetapi menjadi satu keperluan utama kepada masyarakat untuk memudahkan lagi aktiviti harian mereka.

Kenapa pilih Midea berbanding jenama lain yang lebih popular?
Kami adalah jenama bara­ngan elektrik yang masih muda iaitu baru 16 tahun di pasaran tempatan, kami mula di Malaysia pada tahun 2006 dan kami juga memfokuskan kepada kumpulan sasaran muda, berkerjaya, berkeluarga muda dan pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.

Mereka perlukan barangan elektrik berkualiti, berteknologi tinggi dan juga mampu milik harganya.

Produk yang dibawa dari China bercirikan konsep ke hadapan dan tidak ketinggalan zaman seperti yang dijangkakan.

Sebagai contoh periuk nasi di China telah menggunakan teknologi digital dan berasaskan WiFi. Sebenarnya penduduk di China lebih ke hadapan daripada kita di sini. Namun pasaran Malaysia tetap penting buat China.

Pada tahun lalu pandemik Covid-19 telah bermula dari negara China dan produk Midea berasal dari negara berkenaan, adakah syarikat di Malaysia menghadapi masalah?
Sebenarnya, kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan pengeluaran dan penghantaran stok barangan ke Malaysia. China terkenal sebagai kilang dunia dan mereka telah bertindak pantas untuk mengekang wabak berkenaan sejak awal lagi.

Mereka tahu jika tidak bertindak dengan lebih serius pada peringkat awal dan terpaksa me­laksanakan lock down, pastinya ia akan memberi masalah kepada pengilang.

Selain itu, kilang Midea di China juga telah menggunakan teknologi robotik. Sekiranya tiada pekerja yang datang, operasi kilang akan tetap berjalan seperti biasa dan berterusan.

Mereka cuma perlukan pemantauan oleh seorang penyelia sahaja. Mereka juga mengeksport barangan ke seluruh dunia dan pastinya operasi berkapasiti penuh perlu dilaksanakan sepanjang masa.

Apakah perancangan syarikat pada tahun 2021?
Setiap tahun kami ada pe­rancangan untuk melancarkan produk baharu. Buat masa ini, kami memiliki tujuh kumpulan utama produk dan melaluinya terdapat 494 unit simpanan stok (sku) dan setiap sku pula ada pecahan barangannya.

Sebagai contoh untuk segmen periuk terdapat periuk nasi yang pelbagai model dan periuk tekanan pula ada pelbagai model di bawahnya.

Jadi pada tahun ini, kami akan mengeluarkan produk elektrik yang memiliki ciri-ciri berasaskan WiFi yang mana fungsinya boleh dikawal melalui telefon pintar dan juga produk yang ­berasaskan internet segala benda (IOT).

Kami juga memberi penekanan terhadap produk terkini yang berkonsepkan jimat elektrik dan mesra alam sekitar.

Terdapat persepsi bara­ngan dari China tidak berkualiti dan dijual pada harga murah, bagaimana Midea menghadapi tekanan tersebut?
Kami tidak bimbang dengan persepsi tersebut kerana produk yang dibawa dari China telah melalui pemeriksaan yang ketat dan mengikuti garis panduan Sirim. Produk Midea bukan di jual di Malaysia sahaja tetapi juga di seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat, Singapura dan negara lain.

Barang yang datang dari China juga tidak dijual terus kepada pengguna tetapi ia melalui jualan pengedar tempatan.

Kami juga telah membawa pegawai daripada Sirim sebelum ini ke China untuk membuat audit bagi produk dan juga rang­kaian pengeluaran di kilang.

Di situ, ia telah meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Midea.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI