BANDAR BAHARU – Dua mangsa wanita ditemui mati lemas selepas kereta dinaiki mereka dikatakan terjunam ke dalam tasik di Tasik Lake Resort di Serdang di sini petang tadi.
Kedua-dua mayat mangsa dikeluarkan dari kereta jenis Proton Persona oleh anggota bomba.
Jumlah sebenar penumpang di dalam kereta tersebut bagaimanapun belum dapat dipastikan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.24 petang.
“Pusat Gerakan Operasi JBPM menerima panggilan kecemasan MERS 999 mengenai kejadian kereta jatuh ke dalam tasik sebelum mengarahkan anggota ke lokasi tersebut.
“Anggota melibatkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang dan BBP Selama, Perak serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini jumlah sebenar mangsa yang berada di dalam kereta berkenaan belum dapat dipastikan. – K! ONLINE.