fbpx

Sanggup tunggu lama masuk Zoo Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung menunggu giliran untuk memasuki Zoo Negara di Hulu Kelang semalam. – FAUZI BAHARUDIN

HULU KELANG – Zoo Negara menjadi tumpuan ramai warga kota untuk beriadah bersama keluarga pada hujung minggu sehingga terpaksa menunggu lama sehingga sejam dan beratur panjang di luar zoo sebelum dibenarkan masuk.

Pengunjung juga sanggup berjalan kaki sejauh lebih 700 meter apabila mereka terpaksa mele­takkan kenderaan di bahu-bahu jalan kerana tempat letak kereta yang disediakan telah penuh.

Ketika ini, hanya 2,500 pe­ngunjung dibenarkan memasuki Zoo Negara pada satu-satu masa.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, Zoo Negara dipenuhi pengunjung dari Selangor dan Kuala Lumpur yang datang seawal pukul 9 pagi.

Seorang pengunjung, Pam Oli­via Anak Ripat, 38, berkata, dia bersama keluarganya mengambil peluang mengunjungi Zoo Negara kerana rentas negeri ketika ini masih tidak dibenarkan.

“Walaupun kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita masih boleh pergi berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Keadaan ini lebih baik berbanding sebelum ini apabila kebanyakan tempat menarik se­­pe­rti Zoo Negara terpaksa ditutup akibat PKP. Kasihan anak-anak sebab mereka sudah lama tidak dapat bersiar-siar,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Roslee Sari, 42, dari Sepang pula memuji pengurusan Zoo Negara yang masih mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) biarpun pengunjung ramai.

Panda antara tarikan utama pengunjung Zoo Negara.

“Anak-anak memang seronok dapat berkunjung ke sini. Walaupun ramai pelawat, kita tidak begitu risau kerana Zoo Negara sentiasa memantau dan orang ramai juga memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.

“Kawasan Zoo Negara juga luas dan kemasukan pengunjung juga dikawal supaya tidak terlalu sesak. Jadi, kita nak berjalan-jalan pun selesa,” ujarnya.

Lee Mei Sim, 29, ketika ditemui sedang beratur di luar pagar Zoo Negara pula berkata, dia berharap had kemasukan pe­ngunjung ke Zoo Negara dapat ditambah terutama pada hujung minggu bagi mengelak mereka menunggu lama.

“Saya difahamkan kemasukan pengunjung sekitar 2,500 sahaja pada satu-satu masa. Jadi, kami perlu menunggu di luar terlebih dahulu. Mungkin kerajaan boleh naikkan sedikit had kemasukan itu memandangkan kawasan Zoo Negara juga luas,” katanya.

Sebelum ini, Zoo Negara terpaksa ditutup selama tujuh bulan akibat PKP sebelum dibuka semula kepada pengunjung bermula 5 Mac lalu dengan pematuhan SOP yang ketat.
Zoo Negara dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.-K! OKNLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI