fbpx

Jaga isteri seperti seorang bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaimi bersama isterinya yang terlantar sakit akibat barah otak.

SEPANG – “Setiap malam saya akan titipkan kata-kata sema­ngat di telinga isteri supaya dia kuat dan cepat pulih daripada sengsara ini.”

Itu kata-kata Suhaimi Mohd. Zahari, 43, suami kepada Rozaitul Akma Zainudin, 40, yang terlantar sakit akibat meng­hidap barah otak sejak Oktober tahun lalu.

Suhaimi berkata, dia turut menitipkan hasrat untuk sama-sama mengerjakan umrah jika isterinya pulih seperti sedia kala.

Katanya, sebelum isteri terlantar sakit, dia tidak menghidap sebarang penyakit, namun semuanya berubah sekelip mata selepas Rozaitul tiba-tiba mengalami muntah-muntah dan sakit kepala yang menjadi petanda kepada penyakit barah.

“Sejak itu, hidup kami berubah dan saya menjaganya ibarat seorang bayi dengan rutin harian menukar lampin, memandikan dan menyuap makanan,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di sini semalam.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia menjaga isteri sepenuh masa selepas diberhentikan kerja sebagai pengurus sebuah syarikat swasta Mei tahun lalu akibat terkesan de­ngan pandemik Covid-19.

“Aturan Allah terhadap perjalanan hidup saya disusun cantik. Saya diberhentikan kerja ada sebab, rupanya inilah (menjaga isteri). Semua yang berlaku ada hikmah.

“Saya sanggup melakukan apa sahaja, walaupun penat sekali pun asalkan keperluan dan penjagaan isteri diberi ke­utamaan,” katanya.

Suhaimi mengakui duit simpanannya tidak mampu bertahan lama, ditambah pula de­ngan kos ubat-ubatan dan juga lampin pakai buang yang menelan belanja hampir RM800 sebulan.

Suhaimi berkata, rawatan susulan doktor terhadap pembedahan isterinya pada 14 April depan di Hospital Kuala Lumpur.

“Setiap hari saya buat solat hajat agar semuanya dipermudahkan pada tarikh itu. Besar harapan dan doa untuk melihat dia pulih kembali. Saya tahu dia (isteri) seorang yang kuat.

“Tiada lain diharapkan dan jika isteri pulih kembali, niat saya mahu mengerjakan umrah bersama-samanya,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin meng­hulurkan bantuan dan sumbangan boleh menyalurkannya di nombor akaun RHB 10505100459842 atau hubungi­ Suhaimi di talian 011-2350 0268.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI