PENDATANG baharu Liga Super, Penang FC terus menunjukkan belang mereka dalam saingan musim ini selepas berjaya merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor FC dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin.
Pada aksi tersebut, skuad kendalian Tomas Trucha itu berjaya menjaringkan gol menerusi ledakan Al-Hafiz Harun pada minit ke-38 sebelum Danial Ashraff Abdullah menggandakan kedudukan 17 minit sebelum tamat perlawanan.
Mengulas mengenai aksi tersebut, Trucha menyifatkan karakter dipamerkan para pemain cukup agresif dan tidak takut dengan reputasi tinggi yang dimiliki oleh skuad Gergasi Merah.
Kata Trucha, barisan pemain telah memperbaiki prestasi mereka berbanding ketika seri tanpa jaringan bertemu UiTM FC minggu lepas dengan menggunakan peluang keemasan sebaiknya.
“Saya sangat gembira apabila barisan pemain berjaya memanfaatkan sepenuhnya peluang keemasan dengan meledak dua gol penting sekali gus mencatat kemenangan bergaya ke atas Selangor.
“Namun, masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama aspek pertahanan tetapi saya percaya saingan liga baru sahaja bermula dan prestasi pemain akan bertambah baik dari semasa ke semasa.
“Secara jujur, saya cukup berbangga dengan komitmen mereka dalam memburu kemenangan dan kerja keras itu dilihat berhasil kerana dapat membawa pulang tiga mata penuh menentang lawan yang sukar bertemu Selangor FC,” katanya.
Skuad Harimau Kumbang yang berjaya menjuarai Liga Premier musim lepas berjaya mengutip lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super musim ini.