fbpx

Hikmah solo Firdaus Rahmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIRDAUS RAHMAT

MEMULAKAN langkah dalam dunia seni sebagai seorang anggota kumpulan nasyid moden, 4aith sekitar lima tahun lalu benar-benar mengubah haluan hidup anak muda bernama Firdaus Rahmat.

Pendekatan dilakukan kumpulan yang dianggotai empat anak muda itu cukup mudah iaitu menggunakan lagu-lagu popular untuk tujuan berdakwah.

Nama 4aith juga pernah tular selepas mereka menyanyikan semula lagu Despacito nyanyian asal Justin Bieber, Daddy Yankee dan Luis Fonsi.

Lagu tersebut diubah liriknya dengan menerapkan unsur dakwah serta ditukar judul menjadi Dengarilah yang kini mencatat lebih 3.2 juta tontonan dalam YouTube.

“Ketika itu, kami aktif memberikan nafas baharu ke dalam lagu-lagu Barat yang hit dan menjadi siulan pendengar.

“Bukan sahaja dapat mendekatkan diri kepada Allah, tetapi satu pendekatan baharu yang digunakan golongan muda untuk berdakwah menerusi media sosial,” ujar pemilik nama lengkap Muhammad Firdaus Rahmat itu membuka bicara.

SELEPAS membawa haluan solo, perjalanan karier Firdaus semakin berkembang apabila banyak mencipta lagu untuk penyanyi popular. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Jelas Firdaus, 4aith bagaimanapun tidak bertahan lama kerana masing-masing memilih untuk membawa haluan sendiri bermula penghujung 2018.

Justeru, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu mula memberanikan diri dan memilih untuk bergerak secara solo tanpa teman seangkatan di sisi.

Jelasnya, selepas bergerak sendiri, dia mula mendapat tawaran untuk membawakan sebuah single berjudul Aku Rayu ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanah.

“Lagu Aku Rayu diluncurkan pada Mac 2019 selepas saya bergerak secara solo. Karya tersebut mengisahkan tentang seseorang yang sesat jalan dan tidak pasti tentang matlamat hidup,” ujarnya yang turut mengakui sukar bergerak secara solo pada awalnya.

BERBEKALKAN sedikit bakat yang ada, beberapa lirik dan lagu ciptaan Firdaus pernah dibawakan beberapa penyanyi hebat seperti Faizal Tahir, Hazama, Elizabeth Tan dan Ernie Zakri.

Cipta lagu

Perjalanan solonya tidak sekadar menyanyi, namun graduan Diploma Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu turut berjinak-jinak mencipta dan menulis lagu.

Minatnya dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu mula dikesan selepas menamatkan persekolahan dengan menulis beberapa lirik lagu secara suka-suka.

“Kalau ikutkan, saya lebih suka menulis dan menghasilkan lirik lagu berbanding menyanyi. Jiwa saya lebih ke arah itu.

“Alhamdulillah berbekalkan sedikit bakat yang ada, beberapa lirik dan lagu ciptaan saya pernah dibawakan beberapa penyanyi hebat seperti Faizal Tahir, Hazama, Elizabeth Tan dan Ernie Zakri.

“Antara lagu yang pernah mendapat sentuhan saya seperti Boneka, Beku dan Nobody,” ujarnya.

Firdaus yang baru sahaja mendirikan rumah tangga memberitahu, dia bakal menjalin kolaboratif bersama beberapa penyanyi lain seperti Sissy Iman, Siti Nordiana, Bunga Is Me dan Ismail Izzani.

Pada masa sama, Firdaus juga baru sahaja melancarkan single keduanya, Sentiasa ciptaan Dari dan Iqie Hugh pada 12 Mac lalu. Video muzik Sentiasa yang diluncurkan label World Peace Entertainment sehingga kini mencatat lebih 16,000 tontonan dalam platform YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI