NYANYIAN sumbang yang dipersembahkan dalam sebuah program secara langsung tiga tahun lalu secara tiba-tiba pernah meledakkan kontroversi pendatang baharu bernama Neera Azizi.
Dia dikecam, namun dalam masa sama semakin dikenali, walhal dua tahun sebelumnya itu, anak kelahiran Melaka itu awal-awal lagi sudah memberikan salam perkenalan sebagai pelakon.
Masa bergulir, entah apa dan di mana silapnya, sehingga kini nama Neera seperti ada dalam tiada. Graf popularitinya juga tidak naik, tidak menjunam, sekadar mendatar.
Kalau diikutkan, bukan satu atau dua drama dibawakannya, tetapi boleh dikatakan lebih daripada 10 naskhah pernah didukungnya.
Namun, itu bukan satu penanda aras buatnya untuk terus menuai populariti secara ekspres seperti kebanyakan pendatang baharu masa kini.
“Perkara yang satu ini memang saya akui. Saya sendiri pun tidak tahu mana dan apa silapnya.
“Nak kata kecewa sebab orang tak kenal, tak boleh juga. Apa pun saya jenis yang tidak kisah sangat tentang populariti.
“Pada saya cukuplah orang melihat serta menilai pada bakat. Populariti pasti akan menyusul tiba,” ujarnya membuka bicara bersama HibGlam baru-baru ini.
Berhenti kerja
Meneruskan perbualan, Neera atau nama sebenarnya Nurazneera Azizi, 23, tetap menyifatkan keputusan meletakkan jawatan sebagai pramugari syarikat penerbangan Malindo merupakan satu langkah tepat.
Ujar Neera, perkhidmatannya selama setahun bersama syarikat tersebut banyak mengajarnya erti pengurusan masa, berkesan selain membina hubungan bersama orang ramai.
“Tahun ketiga menjadi pelakon, saya buat keputusan untuk sertai Malindo sebagai pramugari.
“Kalau ikutkan, dahulu semasa sekolah, memang ada pasang cita-cita nak jadi juruterbang, tetapi tidak kesampaian,” katanya bersulam tawa kecil.
Neera berkata, dia mengambil keputusan untuk sertai Malindo pada 2019 bukan kerana tawaran lakonan yang berkurangan tetapi mahu mencuba sesuatu yang baharu.
“Orang ingat saya jadi pramugari sebagai tiada tawaran berlakon. “Tanggapan itu salah. Saya masuk ke dalam bidang penerbangan kerana mahu menimba pengalaman baharu,” katanya.
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Miss Kapten Cikgu Waiz dan Suri Hati Mr. Pilot itu bagaimanapun membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana mahu fokus dalam lakonan.
Tambahan pula katanya, kepadatan jadual dan kekangan masa terhad sebagai pramugari dan anak seni, memaksa dirinya melepaskan satu daripada apa yang disayangi.
Fokus
Ditebak mengenai perancangan masa depan, Neera yang pernah tampil sebagai model dalam muzik vidoe Datuk Seri Siti Nurhaliza itu berkata, buat masa ini dia hanya fokus terhadap karier lakonan.
“Selepas tidak lagi bersama Malindo, rezeki dan tawaran dalam lakonan mencurah-curah. Tawaran menjadi model beberapa jenama pun ada.
“Jadi, saya boleh fokus kepada satu persatu tawaran yang diberikan. Kalau masih bersama Malindo, banyak tawaran terpaksa saya tolak kerana jadual yang begitu padat dan tidak menentu,” katanya yang pernah hadir dengan single bergenre pop jazz, Rasa Hati ciptaan komposer B-Heart.
Menutup perbualan, wanita berzodiak Cancer itu mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka. Katanya, hubungan mereka masih terlalu awal dan tidak perlu dihebahkan secara berlebih-lebihan.