KOTA BHARU – Masalah bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu kini masih kritikal dan memerlukan penyelesaian segera.
Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali berkata, hospital itu memerlukan kira-kira 5,000 gelen air sehari untuk pelbagai kegunaan terutamanya dalam operasi penting seperti pembedahan dan rawatan pesakit.
Katanya, keperluan asas itu juga diperlukan untuk kemudahan kira-kira 4,000 kakitangan hospital dan orang awam khususnya waris atau keluarga yang menunggu pesakit di wad-wad.
“Saya berharap kerajaan dapat menyelesaikan segera masalah air di HRPZ II kerana sudah lebih 10 tahun masalah ini berlarutan. Sehingga hari ini, tiada jalan penyelesaian jangka panjang yang boleh dicapai.
“Kerajaan telah mengambil tindakan mengikut fasa-fasa tertentu, namun tindakannya perlu dilakukan secara menyeluruh supaya masalah sama tidak berulang pada masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, bekalan air di HRPZ II termasuk dalam sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air di negeri ini di bawah peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang sedang dilakukan secara berperingkat hingga 2023. K! ONLINE.