KUALA SELANGOR – Kira-kira 90 peratus golongan warga emas di Selangor masih tidak mendaftar vaksinasi bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pemerhatian pihaknya mendapati jumlah itu melibatkan individu berusia 63 tahun ke atas yang berisiko tinggi dijangkiti pandemik berkenaan.
“Beberapa faktor utama didapati menyumbang kepada peratusan itu yang meliputi semua kawasan di negeri termasuk tidak mempunyai akses kepada aplikasi MySejahtera, kekangan internet dan tidak mengetahui cara pendaftaran secara digital,” katanya ketika ditemui pada program Ujian Saringan Covid-19 Percuma di Dewan Orang Ramai Bestari Jaya, Bestari Jaya di sini, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kuala Selangor itu lagi, kerajaan negeri memahami kekangan dihadapi Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan semua rakyat membuat pendaftaran vaksinasi.
Justeru, beliau menegaskan pengkongsian data akan dilakukan bagi membantu melancarkan proses pendaftaran dan mengenal pasti individu bagi tujuan pendaftaran itu.
“Kerajaan negeri masih di peringkat penyelarasan dan kita akan membantu pendaftaran suntikan vaksin sebagai langkah permulaan.
“Inisiatif itu dapat dilihat menerusi pelaksanaan program saringan percuma sejak bulan lalu,” katanya. -K!ONLINE