fbpx

Pesara kerajaan didakwa gubah wang haram hasil seludup gading gajah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh, Md. Nawi Ab. Azizi (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah pengubahan wang haram. Foto - ZULHANIFA SIDEK

PASIR MAS – Seorang pesara kerani kewangan di sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan melakukan jenayah pengubahan wang haram termasuk unit saham bernilai RM753,220 hasil daripada aktiviti penyeludupan dan jual beli gading gajah sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Md. Nawi Ab. Aziz, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Rosly Mohamed Nawi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa telah memperoleh wang RM239,260 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun simpanan bank CIMB miliknya.

Kesalahan itu dilakukan oleh tertuduh di Bank CIMB cawangan Pasir Mas pada 29 April 2017 hingga 19 Oktober 2019.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, Md. Nawi didakwa telah memperoleh unit amanah saham berjumlah 104,000 unit yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun amanah saham di Permodalan Nasional Berhad (PNB) miliknya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di PNB cawangan Amanah Saham Nasional Berhad, Jalan Kebun, Kota Bharu pada 24 Julai hingga 16 Ogos 2017 dan 23 September 2019.

Kelima-lima pertuduhan didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan keenam hingga kelapan, tertuduh didakwa telah menyembunyikan wang berjumlah RM409,960 yang dimasukkan ke dalam akaun simpanan bank CIMB miliknya bermula 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.

Kesalahan itu dilakukan oleh Md. Nawi di Bank CIMB Berhad Cawangan Pasir Mas pada 30 Jun 2018, 30 Jun 2018 dan 30 Jun 2020.

Bagi tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nor Erini Mustapha.

Terdahulu, Rohaiza memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM160,000 untuk semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, Nor Erini dalam rayuannya memohon ikat jamin sebanyak RM20,000 hingga RM40,000 ditetapkan kepada anak guamnya.

“Saya memohon agar jaminan yang minimum kerana harta anak guam telah disita. Tertuduh juga perlu menjaga isteri yang sedang sakit kerana lima orang anaknya semua telah bekerja,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 22 April depan.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI