Gadis yang memenuhi ruangan Pesona Ahad minggu ini sangat meminati bidang peragaan dan pengacaraan sejak di bangku sekolah. Nurul Husna Zainal Abidin, 29, mengakui dia jatuh cinta dengan bidang itu atas faktor kecantikan dan kreativiti seseorang dalam memperagakan sesuatu pakaian.
Bertitik tolak daripada itu, gadis manis kelahiran Lumut, Perak ini tidak mensia-siakan bakat yang ada pada dirinya dengan menjadikan bidang pengacaraan dan peragaan sebagai kerjaya.
Dia kini menjadi pengacara sambilan bagi sebuah segmen bual bicara di TV Alhijrah dan model sambilan untuk beberapa agensi seperti hijabista.hub dan sebawangmalaysia.
Biarpun wajahnya kerap menghiasi majalah dan televisyen, namun Nurul Husna yang mesra dipanggil Yuna tetap menerima kecaman daripada pelbagai pihak di awal pembabitannya dalam industri itu sehingga kini.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kisah gadis petah berbicara ini:
Kosmo! Ahad: Bagaimana timbul minat dalam dunia peragaan dan pengacaraan?
YUNA: Minat mendalam dalam bidang ini bermula sejak berumur 15 tahun lagi apabila saya menonton rancangan televisyen yang memaparkan dunia peragaan antarabangsa. Perjalanan bagai dipermudahkan sehinggalah pada tahun 2013, ketika berusia 21 tahun saya berpeluang mewakili Malaysia untuk menyertai satu pertandingan di Jakarta, Indonesia iaitu ‘World Muslimah Award’. Walaupun tidak memenangi pertandingan itu dan hanya berada di kelompok 10 terbaik, namun saya telah terpilih sebagai ‘The Best World Netizen Muslimah’. Saya bersyukur dan itulah permulaan membanggakan dalam bidang peragaan dan pengacaraan.
Cabaran yang dihadapi Yuna dalam dunia peragaan atau pengacaraan?
Perjalanan dalam bidang ini bukan mudah, banyak cabaran yang terpaksa ditempuh. Saya pernah dikritik kerana terlalu tinggi dan diperlekeh dari segi saiz badan. Memiliki ketinggian 172 sentimeter, mereka menyifatkan saya seperti galah, manakala saiz badan yang agak berisi ketika itu dan tidak memiliki bentuk badan sempurna persis seorang model. Bagaimanapun itu semua tidak menghalang untuk saya terus berkecimpung dalam bidang ini. Persaingan memang banyak, namun kita harus yakin dan terus berusaha dalam mencapai impian. Jangan putus asa dan jadikan pengajaran itu sebagai batu loncatan untuk berjaya.
Apa aktiviti masa lapang?
Saya suka aktiviti berbasikal kerana boleh memantapkan stamina, namun selalunya di sekitar kawasan rumah selepas pulang daripada bekerja. Selain itu, jika tidak bekerja saya akan meluangkan masa bersama keluarga dan melancong dengan mereka antaranya ke Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka. Saya juga sukakan aktiviti lasak dan mencabar antaranya mendaki.
Apa impian dan perancangan Yuna pada masa depan?
Saya sedang berusaha untuk membuka kelas bagi individu yang berminat untuk belajar mengenai ‘Image building’ dalam masa terdekat. Saya turut bercadang untuk terlibat dalam bisnes makanan.
Bagaimana pula dengan ciri-ciri lelaki idaman?
Saya suka lelaki yang matang dan bertanggungjawab daripada pelbagai aspek. Paling penting tidak panas baran, cemburu tidak tentu pasal. Bukan juga lelaki childish. Saya berdoa dijodohkan dengan lelaki yang mampu membimbing saya dunia dan akhirat dan apa yang lebih penting, lelaki berkenaan mestilah menghormati orang tua.
Bagaimana anda berhadapan dengan pengikut media sosial?
Saya amat menitik berat nilai persahabatan. Pelbagai ragam boleh ada di media sosial sama ada menghiburkan atau yang tidak manis. Saya harus sentiasa bijak mengatur perbicaraan, setiap soalan dan jawapan itu menunjukkan kematangan diri seseorang.
Cara hadapi kecaman netizen?
Pada awalnya, saya susah mengawal emosi, namun lama kelamaan saya terima kecaman tersebut dengan dari sudut positif. Cara paling mudah ialah menyekat terus akaun mereka. Tiada yang lebih menenangkan hati saya bila memandang wajah ibu bapa saya yang sentiasa memberi sokongan untuk terus kuat.